AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Nigeria Akan Memperkenalkan Undang-Undang Khas Untuk Mengekang Salah Guna Kuasa Dalam Perkahwinan

Rang undang-undang (RUU) khas untuk mengekang poligami, kahwin paksa, penceraian mudah dan juga perkahwinan di bawah umur, akan diperkenalkan oleh seorang pemimpin Islam dari negeri utama di utara Nigeria, kata Emir (Putera) Kano, Muhammadu Sanusi II dalam sebuah kenyataan.

Menurut beliau, undang-undang tersebut akan menyediakan apa yang Islam berkata tentang umur minima perkahwinan, mengharamkan perkahwinan paksa dan keganasan rumah tangga, serta syarat-syarat khusus dan ketat yang perlu dipenuhi oleh seseorang sebelum mengahwini isteri kedua (berpoligami).

RUU itu kini sedang dirangka dan akan dikemukakan kepada parlimen di utara negeri Kano, sebuah negeri di mana Emir mempunyai pengaruh yang besar sebagai seorang Muslim yang terkemuka dan pemimpin tradisional.

“Ia (RUU) akan memperkenalkan perlindungan bagi wanita yang sudah bercerai,  menetapkan tanggungjawab seorang ayah lebih daripada hanya menghasilkan anak dan juga peranan mahkamah dalam menjaga kanak-kanak,” katanya.

Sanusi yang juga bekas gabenor bank pusat turut menjelaskan bahawa ia adalah sebuah undang-undang yang besar kerana merangkumi pelbagai aspek perkahwinan dalam Islam, iaitu dari persetujuan/kebenaran untuk berkahwin, nafkah isteri, penceraian dan juga harta peninggalan kepada anak-anak.

Difahamkan, wilayah utara Nigeria ‘dicemari’ oleh kaum lelaki yang gemar berkahwin dengan ramai isteri dan menjadi bapa kepada puluhan kanak-kanak, namun mereka tidak bertanggungjawab dan mengabaikan kanak-kanak tersebut.

Hal ini menyebabkan kanak-kanak itu untuk menjadi ‘sasaran mudah’ bagi kumpulan pengganas untuk merekrut mereka sebagai anggota pejuang sekali gus terlibat dalam kegiatan keganasan.

“Kita semua telah lihat kesan ekonomi kepada lelaki yang tidak mampu untuk menjaga seorang isteri tetapi mengahwini empat orang, melahirkan 20 kanak-kanak, tidak memberi pendidikan kepada mereka, membiarkan mereka di jalanan dan berakhir sebagai samseng dan pengganas,” kata Sanusi.

Sama seperti Sultan Sokoto, Sa’ad Abubakar yang amat berpengaruh, ramai yang turut menganggap Sanusi sebagai seseorang pemimpin yang mempunyai pendedahan dan ilmu pengetahuan mendalam tentang Islam, di mana kelebihan tersebut amat diperlukan untuk membawa perubahan pada wilayah utara negara itu.

 

 

Sumber: Anadolu Agency

 

Show More

Related Articles

Back to top button