AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Turki: Referendum Pembaharuan Perlembagaan Membuka Jalan Kepada “Kelahiran Semula” Negara

Referendum Perlembagaan Turki yang akan berlangsung pada 16 April ini akan menjadi ” kelahiran semula” negara itu, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Bulan Januari lalu, Rang undang-undang (RUU) perubahan perlembagaan itu diluluskan di parlimen untuk dijadikan referendum dengan meraih 339 undian (9 undian lebihan), di mana untuk meluluskannya, RUU itu memerlukan sekurang-kurangnya 330 undian.

Bercakap pada majlis pembukaan projek infrastruktur di wilayah Gaziantep, Erdogan menyatakan bahawa perubahan baru itu akan mengukuhkan lagi demokrasi Turki.

“April 16 adalah kelahiran semula (Turki). Saya berharap ini akan menjadi kebangkitan baharu, (dan) lambang pemulihan.

Difahamkan, pembaharuan perlembagaan telah mula diperbincangkan secara rasmi sejak Erdogan dilantik menjadi pemimpin negara itu pada bulan Ogos 2014.

Antara intipati yang tertakluk di bawah cadangan tersebut termasuk memberi kuasa eksekutif yang lebih luas kepada presiden dan membolehkan beliau untuk memimpin sehingga tahun 2029, selain daripada memansuhkan jawatan perdana menteri.

Dalam pada itu, Erdogan sekali lagi ‘menghentam’ parti-parti pembangkang kerana kritikan mereka terhadap perubahan perlembagaan yang bakal diadakan itu.

Dua parti pembangkang, Republican People’s Party (CHP) dan People’s Democratic Party (HDP) tidak bersetuju dengan pembaharuan yang ingin dilakukan itu manakala parti pemerintah, Justice and Development (AK) Party memberi sokongan penuh terhadap usaha itu bersama Nationalist Movement Party (MHP).

Walau bagaimanapun, Erdogan kekal dengan pendiriannya sambil menegaskan bahawa parlimen negara itu sebenarnya akan lebih kukuh dengan adanya sistem baru tersebut, di mana beliau menyifatkan ia sebagai kedua-dua “sistem presiden” dan “sistem presiden kerajaan”.

Merujuk kepada serangan pengganas yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini, beliau menyatakan Turki memerlukan pemerintahan yang kuat untuk melalui era yang rapuh ini.

“Kita perlu mengubah sistem untuk mengakhiri perjuangan kita dalam menentang keganasan,” katanya sambil menambah perubahan juga harus dilakukan bagi mencapai matlamat negara itu menjelang tahun 2023.

Erdogan sudah pun memulakan kempen “Ya” Jumaat lalu selepas jadual rasmi referendum tersebut diumumkan oleh Lembaga Tertinggi Pilihan Raya.

Kempen tersebut bermula di selatan Kahramanmaras, salah sebuah kawasan yang memberi beliau undian terbanyak dalam pilihan raya presiden 2014.

Perubahan itu juga akan memansuhkan kuasa parlimen untuk mempersoalkan mana-mana menteri ataupun mengadakan undian kepercayaan terhadap kerajaan.

Umur minima bagi calon parlimen turut akan diturunkan kepada 18 tahun dan bilangan timbalan akan ditingkatkan kepada 600 orang.

Pilihan raya parlimen dan pilihan raya presiden bagi penggal lima tahun seterusnya pula akan berlangsung secara serentak pada bulan November 2019 di bawah perlembagaan baru.

Parti-parti politik yang ingin berkempen pula dibenarkan untuk berbuat demikian selewat-selewatnya sehingga jam 6 petang pada 15 April.

Sumber: Anadolu Agency
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker