AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Apa Itu “Hari Bertenang” Di Dalam Sistem Pilihan Raya Singapura?

Dalam sesebuah pilihan raya, ia adalah satu kebiasaan untuk calon dan parti-parti politik menjalankan kempen dan pengiklanan pilihan raya dalam usaha meraih sokongan dan undi rakyat.

Pihak media juga tidak terkecuali daripada melakukan liputan terhadap kempen calon/parti untuk membolehkan rakyat memilih siapa calon/parti yang sesuai dan layak untuk memimpin mereka.

Walau bagaimanapun di Singapura, Jabatan Pilihan Raya (ELD) negara itu mewujudkan “Hari Bertenang”, di mana pada hari berkenaan, sesiapa sahaja, termasuk calon dan parti politik dilarang sama sekali untuk berkempen atau melakukan pengiklanan pilihan raya dalam apa bentuk sekali pun.

Dalam konteks ini, maksud pengiklanan pilihan raya adalah sebarang bahan yang dimuat naik ke sebarang platform dengan niat untuk meningkatkan kedudukan, atau menggalak kemenangan dalam pilihan raya bagi sesebuah parti atau calon.

Diperkenalkan dalam pilihan raya 2011, peraturan yang tertakluk di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA) itu bertujuan untuk memberi ruang kepada pengundi untuk memikirkan secara rasional segala isu yang dibangkitkan semasa berkempen sebelum mereka keluar untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Hari Mengundi.

Selain itu, calon yang bertanding juga tidak dibenarkan untuk memancing undi atau ‘turun padang’ untuk melawat kawasan pilihan raya mereka ketika Hari Bertenang serta Hari Mengundi.

Sesiapa yang didapati melanggar peraturan yang telah ditetapkan itu, ELD akan mengambil tindakan pertama dengan memberi amaran terlebih dahulu, kerana mungkin terdapat beberapa kes pelanggaran yang tidak disengajakan.

Tetapi sekiranya peraturan itu dilanggar secara sengaja, ELD akan membuat laporan Pasukan Polis Singapura (SPF) terhadap individu yang terlibat untuk menjalankan siasatan.

Setelah siasatan polis selesai, mereka akan mengemukakan kes tersebut kepada Jabatan Peguam Negara.

Minggu lepas, pihak polis telah mengeluarkan amaran tegas terhadap empat orang individu kerana melanggar peraturan Hari Bertenang semasa pilihan raya kecil Bukit Batok pada Mei 2016.

Amaran itu dikeluarkan terhadap Jason Chua Chin Seng, pengasas halaman Facebook “Fabrications About The PAP”, Masilamani Pillai Kumaran dari The Independent Singapore, Ravi Chandran Philemon dan peguam Alfred Dodwell.

Difahamkan mereka telah melanggar peraturan larangan pengiklanan pilihan raya tersebut dengan menerbitkan artikel-artikel secara online pada Hari Bertenang dan Hari Mengundi PRK Bukit Batok.

Berikutan itu, sesiapa yang mengulangi kesilapan serupa pada pilihan raya pada masa akan datang, mereka akan disiasat oleh pihak polis dan menghadapi dakwaan.

“Jika dibiarkan, pencabulan-pencabulan seperti itu menjejas keyakinan awam terhadap proses pilihan raya Singapura,” kata polis.

Sekiranya didapati bersalah, individu yang terlibat boleh didenda sehingga S$1,000 dan dipenjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Media Corp Singapore

 

Show More

Related Articles

Back to top button