AntarabangsaIsu Semasa

Filipina: Duterte Gantung Pasukan Polis Kerana Korupsi, Tentera Ambil Alih Perang Dadah

Kempen membanteras dadah Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memberi kuasa dan kebebasan kepada pasukan polis negara itu untuk membunuh sesiapa sahaja yang terlibat dengan dadah.

Namun baru-baru ini, Duterte terpaksa menggantung penglibatan pihak polis dalam melaksanakan rancangan berkontroversinya untuk memerangi dadah di seluruh negara.

Langkah tersebut diambil berikutan insiden kematian Jee Ick-joo, seorang ahli perniagaan Korea Selatan berusia 53 tahun yang diculik dan dibunuh oleh dua orang anggota polis.

Hasil laporan dan testimoni Jabatan Keadilan Filipina mendapati bahawa kedua-dua anggota polis berkenaan kononnya menggunakan kuasa mereka untuk melakukan serbuan rampas dadah di rumah Jee, sedangkan motif sebenar mereka adalah untuk menculik mangsa dan meminta wang tebusan daripada isterinya – walaupun Jee sudah meninggal dunia di ibu pejabat polis.

ick-joo-jee-011217
Jee Ick-joo, ahli perniagaan Korea Selatan yang diculik dan dibunuh oleh dua anggota polis – Sumber: news.abs-cbn.com

Sebagai tindak balas terhadap insiden itu, Duterte menggantung pasukan polis daripada meneruskan peperangan itu sambil menyifatkan mereka sebagai golongan yang sangat korup.

Walau bagaimanapun, presiden yang turut dikenali sebagai “The Punisher” itu tetap ingin meneruskan usahanya memerangi dadah sehingga hari terakhir kepimpinannya.

Selepas menggantung pasukan polis, Duterte dengan segera memberi kuasa kepada pihak tentera untuk mengambil alih tugas itu.

Sejak pelantikannya sebagai presiden pada tahun lepas, Duterte berikrar untuk membanteras dadah dan juga jenayah dalam tempoh enam bulan.

Jangka masa yang singkat itu menyebabkan pihak polis bertindak dengan agresif dan luar kawalan.

Bulan ini mencatatkan bulan yang ketujuh, dan operasi membanteras dadah beliau telah meragut lebih daripada 3,600 nyawa melalui pembunuhan cara ‘vigilante’, dengan  tambahan 2,000 kematian lagi hasil daripada operasi polis yang mendakwa suspek melawan ketika ingin melakukan tangkapan.

19503044_403
Antara suspek dadah yang dibunuh dalam operasi Duterte – Sumber: http://www.dw.com

Sebelum ini, Duterte tetap mempertahankan polis sambil berjanji bahawa tiada seorang pun antara mereka akan ke penjara kerana menjalankan tugas memerangi dadah.

Tetapi selepas kematian Jee yang dibunuh oleh polis, fikirannya mula berubah.

Laporan terbaru Amnesty International yang menunjukkan penglibatan polis secara langsung dalam pembunuhan berkaitan dadah dan pembunuhan di luar undang-undang memberi tekanan yang lebih kepada Duterte untuk mengekang pihak berkuasa.

Berdasarkan laporan tersebut, polis didakwa menerima bayaran $300 bagi setiap suspek orang dadah yang mereka bunuh.

“Pentadbiran (Duterte) telah tersalah kira profesionalisme dan kecekapan polis,” kata ahli sejarah tentera yang juga perunding pertahanan dan keselamatan Filipina, Jose Antonio Custodio.

Selain itu, budaya korupsi dalam kalangan pasukan polis sangat berleluasa sebelum Duterte menjadi presiden lagi.

Data kerajaan menunjukkan bahawa polis, secara konsisten, telah disenaraikan sebagai salah sebuah institusi kerajaan yang paling korup di Filipina.

Custodio berkata, kesilapan yang paling besar dalam pentadbiran Duterte adalah tiada usaha serius yang diambil untuk menangani korupsi dalam kalangan polis secara berkesan sebelum pasukan itu ditugaskan untuk memerangi dadah.

Beliau juga menyatakan bahawa melibatkan tentera untuk mengambil alih perang dadah akan terus menjejaskan sumber logistik dan tenaga manusia yang diperlukan untuk mempertahankan kepulauan Filipina yang mempunyai lebih daripada 7,000 pulau.

 

 

Sumber: DW

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close