AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Filipina: Duterte Batal Rundingan Damai Bersama Pemberontak Maoist

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah membatalkan rundingan damai bersama kumpulan pemberontak komunis Tentera Rakyat Baru (NPA) atau Maoist yang bertujuan untuk mengakhiri konflik yang telah berlanjutan selama lima dekad di antara pihak kerajaan dan kumpulan itu.

Menurut laporan, konflik tersebut telah meragut lebih daripada 40,000 nyawa sepanjang tempoh ia berlangsung.

Rundingan yang sepatutnya diadakan di Oslo, Norway, pada hujung bulan ini dibatalkan kerana “tuntutan melampau” NPA yang meminta agar kerajaan membebaskan lebih daripada 400 orang tahanan politik yang pernah menentang kerajaan, termasuk seorang yang lelaki yang membunuh pegawai tentera Amerika Syarikat pada tahun 1989.

“Saya sudah mencuba segalanya, termasuk membebaskan pemimpin mereka untuk menyertai rundingan di Oslo. Kini, mereka mendesak supaya membebaskan lebih ramai tahanan yang pernah menentang kerajaan,” katanya.

Jumaat lalu, Duterte yang juga digelar sebagai “The Punisher” kerana kaedah radikalnya dalam memerangi dadah, turut membatalkan gencatan senjata yang bertahan selama 5 bulan, iaitu dua hari selepas langkah yang sama diambil oleh NPA.

Selepas gencatan senjata ditarik semula, NPA mencetuskan kemarahan Presiden berkontroversi itu apabila mereka kembali menjalankan kegiatan menculik dan membunuh tentera kerajaan.

Berikutan itu, Duterte menyatakan bahawa pemimpin komunis yang telah dibebaskan buat sementara waktu oleh kerajaan untuk mengambil bahagian di dalam perundingan damai di luar negara akan “disumbat semula ke dalam penjara.”

“Kita telah bertempur selama 50 tahun. Jika anda (NPA) ingin melanjutkannya untuk 50 tahun lagi, jadi teruskanlah,” kata beliau sambil menambah bahawa pihaknya juga “gembira untuk melayan” kumpulan itu.

Duterte telah mengarahkan tentera untuk memburu anggota-anggota kumpulan pemberontak sambil menuduh mereka berunding dengan niat yang jahat.

Beliau turut menuduh NPA meneruskan kegiatan merekrut pejuang baru, menyerang perniagaan serta memeras ugut wang daripada pemilik ladang, lombong dan juga syarikat-syarikat pengangkutan.

Ditubuhkan pada tahun 1969, NPA sangat aktif dalam melancarkan serangan untuk menggulingkan kerajaan yang telah dilantik secara demokratik sebelum ini.

Ketika ‘zaman kegemilangannya’, kumpulan komunis itu mempunyai kira-kira 25,000 pejuang bersenjata, namun angka tersebut telah menurun kepada 3,000 ahli sahaja pada masa kini.

Sumber: Straits Times

 

Show More

Related Articles

Back to top button