AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Indonesia: Majlis Ulama Akan Keluarkan Fatwa Berhubung Penyebaran Berita Palsu

Majlis Ulama Indonesia (MUI) akan mengeluarkan fatwa bagi mengisytiharkan penyebaran berita palsu di media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya sebagai satu perkara yang tidak Islamik berikutan ketegangan kaum dan agama dikalangan masyarakat negara itu.

Menurut pengerusi MUI, Maaruf Amin, mereka akan mengeluarkan fatwa itu secepat mungkin kerana keadaan menjadi semakin membimbangkan.

“Diharapkan, sekurang-kurangnya (dengan adanya fatwa tersebut) umat Islam tidak akan terlibat lagi dengan berita palsu,” katanya.

Walau bagaimanapun, sebarang fatwa agama tidak terikat dengan sistem undang-undang Indonesia dan oleh itu, ia tidak boleh dikuatkuasakan menerusi undang-undang.

Berdasarkan laporan, fatwa itu akan dikeluarkan sebelum pilihan raya gabenor Jakarta berlangsung pada 15 Februari ini kerana ia penuh dengan ketegangan agama.

Untuk pilihan raya gabenor kali ini, dua orang calon berketurunan Cina dan Kristian akan bersaing dengan dua orang calon beragama Islam, tetapi kehangatan dan ketegangan tercetus apabila salah seorang calon bernama Basuki Tjahaha Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok didakwa menghina kitab suci Al-Quran semasa beliau berkempen pada tahun lepas.

Difahamkan, segalanya bermula apabila Ahok, di dalam sebuah rakaman video yang telah diletakkan sari kata yang salah, dikatakan mendakwa bahawa calon-calon lawannya menggunakan Al-Quran dalam kempen politik.

Berikutan itu, beribu-ribu umat Islam di negara itu telah berkumpul di Jakarta sebanyak dua kali untuk mengadakan demonstrasi membantah Ahok selain daripada menggesa agar beliau dipenjarakan.

Memandangkan Indonesia merupakan negara Islam yang terbesar di dunia, kumpulan-kumpulan Islamik sayap kanan juga menegaskan agar rakyat tidak mengundi calon bukan Islam dan calon gabenor itu (Ahok) pula perlu menjalani perbicaraan atas tuduhan yang dikenakan.

Namun, sekiranya kemenangan berpihak kepada Ahok, beliau akan menjadi gabenor bukan Islam yang pertama di negara itu.

Dalam pada itu, Presiden Indonesia,  Joko Widodo yang juga dikenali panggilan mesranya “Jokowi”, menggesa pengguna media sosial untuk berhenti menyalahgunakan platform itu untuk menyebarkan maklumat atau berita palsu.

Pihaknya juga telah menjemput eksekutif-eksekutif daripada syarikat gergasi media sosial Facebook untuk mengadakan perbincangan bagi membendung masalah ini.

Sumber: Independent UK
Show More

Related Articles

Back to top button