Amerika SyarikatAntarabangsaIsu SemasaPolitik

Bagaimana Keadaan 7 Negara Yang Berada Dalam Senarai Larangan Trump?

Perintah Eksekutif Larangan Imigresen oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kini menjadi topik hangat yang diperdebatkan oleh masyarakat di serata dunia.

Umum ketahui bahawa rakyat daripada tujuh buah negara Islam iaitu Somalia, Sudan, Yemen, Syria, Iran, Iraq dan Libya dilarang untuk memasuki negara itu selama 90 hari manakala golongan pelarian pula dikenakan sekatan selama 120 hari.

Walau bagaimanapun, pernah tak anda terfikir bagaimana sebenarnya keadaan kehidupan seharian rakyat yang menetap di tujuh buah negara berkenaan?

1. SYRIA

31-syria-girl-reuters
Sumber: www.independent.co.uk

Syria merupakan negara yang mengalami perang saudara yang paling buruk pada zaman ini. Berjuta-juta rakyatnya terkesan dengan konflik yang telah berterusan hampir enam tahun itu, di mana anggaran jumlah kematian mencecah 400,000 orang.

Dalam pada itu, campur tangan AS dan Rusia juga memburukkan lagi keadaan apabila mereka melancarkan serangan udara untuk menghapuskan kumpulan pengganas IS, tetapi langkah itu juga memusnahkan bangunan-bangunan di negara itu dan turut mengorbankan nyawa-nyawa insan yang tidak berdosa.

Berikutan itu, ramai daripada mereka yang hidup dalam keadaan terseksa tanpa tempat tinggal, bekalan makanan dan minuman yang sedikit, serta terpaksa menempuh cuaca sejuk tanpa pakaian yang cukup.

Pergolakan itu adalah punca utama mengapa kebanyakan pelarian daripada Syria melarikan diri ke Eropah. Tahun lepas, pentadbiran bekas presiden AS, Barack Obama menetapkan had untuk menerima 10,000 orang pelarian Syria.

 2. IRAQ
isis-elements-during-their-slaughter-of-the-four-civilians-in-tikrit
Sumber: www.iraqinews.com

Iraq telah bergelut untuk mencapai kestabilan politik sejak pencerobohan AS di negara itu pada tahun 2003. Tentera AS menangkap Saddam Hussein, pemimpin diktator Iraq pada waktu itu, di mana beliau telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada tahun 2006.

Mereka (Tentera AS) kekal di Iraq sehingga tahun 2011 ketika bekerjasama dengan tentera negara itu di bawah pentadbiran kerajaan baru untuk membangunkan keupayaan pertahanan Iraq.

Namun begitu, kumpulan pengganas IS mula mengambil alih Mosul, sebuah bandar di Iraq apabila pihak tentera gagal untuk mencegah kebangkitan kumpulan itu. Sebagai kubu kuat IS, ramai penduduk di bandar itu, terutamanya golongan wanita, menjalani kehidupan yang menyeksakan kerana mereka dilayan seperti hamba.

Pada tahun 2014, seramai 1,700 orang askar kadet telah dibunuh dalam aktiviti pembunuhan secara beramai-ramai berdekatan bekas pangkalan tentera AS.

Sebilangan tentera AS kemudian kembali semula ke Iraq untuk membantu mengukuhkan ketenteraan serta memberi pertolongan dalam operasi untuk mengambil alih semula bandar Mosul selepas dua tahun ia berada di bawah pemerintahan IS.

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) , lebih daripada 114,000 orang dipindahkan daripada rumah-rumah mereka.

Selain itu, insiden serangan trak pengebom berani mati turut mengorbankan lebih daripada 200 nyawa di Baghdad pada tahun lepas.

3. IRAN

en_1640
Sumber: www.spiran.com

Ekonomi Iran yang bergantung pada minyak telah terjejas teruk berikutan sekatan ekonomi yang berlaku selama berdekad-dekad. Kejadian itu secara langsung adalah penyumbang kepada kadar pengangguran yang tinggi di negara itu.

Sekatan itu pertama kali dikenakan oleh Amerika Syarikat pada tahun 1979 ekoran revolusi Iran dan rampasan kedutaan AS di Tehran. Tetapi, lebih banyak denda atau sekatan dikenakan oleh AS dan PBB selepas kemudian kerana program nuklear negara itu.

Kini, keadaan ekonomi dan politik Iran dilihat semakin stabil, namun menurut kumpulan-kumpulan hak asasi, negara itu masih kekal autokratik di dalam pemerintahannya sekali gus memberi impak negatif terhadap kumpulan minoriti, wanita dan juga parti pembangkang.

Berdasarkan laporan Amnesty International pada tahun 2015-16, pihak berkuasa Iran banyak menyekat kebebasan bersuara, menahan dan memenjarakan wartawan, pembela hak asasi manusia, ahli kesatuan sekerja dan sesiapa sahaja yang bercanggah pendapat dengan mereka.

Negara itu turut mengamalkan kaedah penyeksaan serta layanan-layanan buruk lain terhadap tahanan. Kaedah penyeksaan dan layanan-layanan buruk lain terhadap tahanan ibarat perkara biasa.

4. YEMEN

f1577ba23983480095b37499e42c5f3b_18
Sumber: aljazeera.com

Perang saudara di Yemen tercetus lebih daripada dua tahun yang lalu, tetapi ia ibarat sebuah “peperangan yang dilupakan” memandangkan seluruh dunia memberi perhatian lebih kepada Syria kerana konflik yang lebih besar.

Namun, kedua-dua perang saudara tersebut mempunyai banyak persamaan – banyak sekolah dan hospital telah dibom, kuasa luar melancarkan serangan udara, pergolakan politik menyebabkan kumpulan militan seperti IS untuk bangkit dan sebagainya.

Antara masalah utama yang dihadapi oleh penduduk Yemen adalah masalah kebuluran dikalangan kanak-kanak. Menurut laporan UNICEF, 1.5 juta kanak-kanak kini mengalami kekurangan zat, di mana 37,000 dari kalangan mereka berada dalam keadaan kritikal.

5. LIBYA

25libyaexplain-web1-facebookjumbo
Sumber: www.nytimes.com

Lima tahun dahulu, Libya merupakan salah sebuah negara yang terkaya dan paling stabil di Afrika. Negara itu dipimpin oleh Kolonel Muammar Gadhafi lebih daripada 40 tahun selepas beliau mengambil alih pentadbiran melalui rampasan kuasa pada tahun 1969.

6 juta rakyat di negara itu juga turut mendapat manfaat daripada kekayaan minyak di Libya. Walau bagaimanapun, segalanya berubah apabila kerajaan Gadhafi digulingkan dan beliau kemudian dibunuh.

Selepas kematian beliau, keadaan politik mula bertambah buruk dan ia memberi ruang kepada militan IS untuk membina kuasa mereka di Bandar Sirte, yang juga kampung halaman Gadhafi.

Insiden ini juga telah menyebabkan AS untuk melancarkan serangan udara bagi menghapuskan kumpulan pengganas itu, di mana serangan berkenaan turut menjejaskan kehidupan penduduk kerana banyak bangunan yang telah musnah.

6. SOMALIA

_88097261_somalia_refugees_bossasso_afp
Sumber: www.bbc.co.uk

Somalia adalah salah satu negara yang termiskin di dunia. Negara itu juga mengalami perang saudara selepas penyingkiran diktator Siad Barre pada tahun 1991.

Sekarang, selepas konflik yang berlangsung selama dua setengah dekad, struktur kerajaan, ekonomi dan institusi-institusi di negara itu telah musnah, menurut laporan Bank Dunia.

Pada tahun 2012, kerajaan baru ditubuhkan, tetapi puak-puak yang berselisihan faham dan kumpulan ekstremis seperti Al-Shabaab, turut berkembang pada tahun-tahun yang tidak stabil sebelum itu.

Selepas mereka mula memperoleh kuasa, kumpulan itu aktif melancarkan serangan menentang kerajaan dan juga merekrut kanak-kanak untuk menjadi pejuang mereka.

7. SUDAN

161130110927-sudan-food-exlarge-169
Sumber: edition.cnn.com

Sudan juga merupakan antara negara di dunia ini yang mengalami konflik yang berterusan, terutamanya akbiat konflik Darfur. Ia bermula pada tahun 2003 apabila beberapa kumpulan pemberontak menentang kerajaan di Khartoum.

Penentangan itu berlaku disebabkan tanah dan juga peminggiran sejarah, di mana ia masih berterusan sehingga hari ini.

Keganasan yang berlaku itu mencetuskan peperangan dan pada tahun 2008, PBB menganggarkan bahawa 300,000 orang mungkin telah terkorban semasa konflik Darfur, tetapi golongan pakar berkata angka itu telah meningkat sejak konflik tersebut.

Presiden Sudan, Omar al-Bashir, didakwa atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa, termasuk pembunuhan beramai-ramai yang berhubung kait dengan konflik Darfur pada tahun 2010.

Tetapi, konflik tidak berakhir di situ kerana kerajaan Sudan dituduh menggunakan senjata kimia terhadap penduduk Darfur tahun lepas, berdasarkan laporan Amnesty International.

Sumber: CNN
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker