Amerika SyarikatAntarabangsaIsu SemasaPolitik

AS: Kemungkinan Untuk Dibunuh Oleh Pelarian Pengganas Adalah 1 Dalam 3.6 Bilion

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mempunyai pelbagai rancangan untuk “menjadikan Amerika hebat semula”, di mana antara cadangan utama beliau adalah untuk menggantung imigrasi daripada tujuh negara Islam utama, iaitu Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria, Yemen, dan Iran serta mengharamkan pelarian daripada memasuki AS selama 120 hari.

Berikutan itu, sebuah laporan yang mengkaji risiko yang boleh dicetuskan oleh pendatang, mendedahkan bahawa kemungkinan untuk dibunuh oleh pengganas dari kalangan pelarian di AS adalah 1 dalam 3.64 bilion.

Memetik laporan Independent UK, draf perintah itu bertajuk “Protecting the Nation From Terrorist Attacks by Foreign Nationals”, dan rancangan untuk menggantung sepenuhnya permohonan daripada pelarian Syria turut tertakluk di dalam draf berkenaan.

Pemimpin baharu Rumah Putih itu berulang kali menyatakan dasar tersebut sejak kempennya ketika pilihan raya lagi, di mana beliau menegaskan ia akan melindungi rakyat Amerika daripada ancaman pengganas.

Walau bagaimanapun, sebuah kajian daripada Cato Institute bertajuk “Terrorism dan Immigration: A Risk Analysis”, mendapati bahawa dasar itu tidak akan menjadi dasar yang berkesan kerana mereka tidak menjumpai bukti yang cukup untuk menyokong kenyataan Trump berhubung isu pelarian.

Laporan kajian itu menyatakan bahawa kemungkinan untuk dibunuh oleh serangan pengganas yang dilakukan oleh pendatang haram adalah 1 dalam 10.9 bilion setiap tahun manakala kemungkinan untuk dibunuh oleh pelancong yang memohon visa B adalah 1 dalam 3.9 juta setiap tahun.

Kumpulan pengkritik menyifatkan ‘cadangan keselamatan’ trump itu sebagai satu perkara yang “tidak wajar”, dan seorang jurucakap bagi Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian menggelarnya sebagai perkara yang “sangat membimbangkan dari perspektif kemanusiaan.”

Dr Richard Johnson daripada jabatan politik University of Oxford pula berpandangan bahawa Trump berhasrat untuk memperkenalkan dasar itu di seluruh negara kerana beliau tidak boleh merealisasikan rancangannya untuk mengharamkan semua orang Islam dari seluruh dunia untuk memasuki AS.

“Ini adalah dasar yang tidak berkesan dan tidak wajar dari aspek apa yang ingin dicapai,” kata Johnson sambil menambah bahawa beberapa siri serangan terbaru di AS dilakukan oleh orang yang lahir di sana atau orang yang telah menetap di negara itu untuk tempoh yang agak lama.

Selain itu, Johnson juga bimbang dengan laporan berhubung sekatan terhadap penempatan semula pelarian di dalam AS dan menyeru agar kerajaan mengambil masa untuk berfikir semula.

Trump menafikan dakwaan bahawa dasar itu adalah untuk mengharamkan kedatangan orang Islam, tetapi ia sebaliknya adalah untuk ‘menapis’ negara-negara tertentu daripada masuk ke AS.

“Anda sedang melihat orang yang datang dengan niat jahat. Saya tidak mahu itu. Mereka adalah ISIS. Mereka datang atas penipuan. Saya tidak mahu itu,” kata pemimpin Republikan berkontroversi itu.

Sumber: Independent UK 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker