Isu SemasaTempatan

Kenali Ahli Parlimen (MP) Anda Di Kuala Lumpur

Bandar Kuala Lumpur, atau nama penuhnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ialah ibu negara dan juga bandar yang terbesar di Malaysia.

Meliputi tanah seluas 244 km, Kuala Lumpur didiami oleh 1.63 juta orang penduduk berdasarkan banci tahun 2010.

Kuala Lumpur juga tergolong dalam sebuah kawasan metropolitan besar yang turut meliputi sebahagian besar negeri Selangor, iaitu Lembah Klang, sebuah kelompokan bandar yang diduduki 7.2 juta orang, dan juga kawasan metropolitan yang paling pesat membangun di negara dari segi bilangan penduduk dan ekonomi.

Dalam pada itu, bangunan Parlimen Malaysia yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga terletak di Kuala Lumpur. Bandaraya ini diwakili di Dewan Rakyat oleh sebelas orang Ahli Parlimen, yang diundi untuk penggal lima tahun.

Sebelum ini, kerusi-kerusi parlimen di Kuala Lumpur dikuasai oleh parti kerajaan Barisan Nasional (BN), namun segalanya mula berubah selepas Pilihan Raya Umum 12 (PRU12) Mac 2008 yang menyaksikan parti pembangkang mendominasi kerusi-kerusi parlimen itu,

Selepas PRU13, pembangkang masih berjaya mengekalkan kuasa mereka dalam memegang kebanyakan kerusi parlimen Kuala Lumpur. Berikut adalah senarai 11 orang Ahli Parlimen  serta kawasan-kawasan mereka:

16295912_382174912140466_2140596532_n
Senarai Ahli Parlimen Kuala Lumpur – Sumber: www.parlimen.gov.my

1. YB DR. TAN SENG GIAW

download-1
Sumber: www.freemalaysiatoday.com

Dr. Tan Seng Giaw merupakan ahli politik daripada parti Democratic Action Parti (DAP) dan telah menjadi ahli parlimen Kepong sejak tahun 1982.

Dilahirkan pada 26 Mei 1942 di Kota Bharu, Kelantan, Dr Tan juga seorang individu yang fasih dalam beberapa bahasa termasuk Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin Jawi.

Penglibatan Tan di dalam dunia politik bermula pada tahun 1976 semasa beliau berkhidmat kepada penduduk Kepong bagi pihak Dr. Tan Chee Khoon.

Turut memegang jawatan naib pengerusi DAP, beliau berjaya mempertahankan kerusinya di Kepong dan tidak pernah tewas dalam setiap pilihan raya yang beliau bertanding.

PRU13 merupakan kemenangannya yang terbesar, di mana beliau memperoleh 47,837 undian dengan majoriti 40,307 lalu menewaskan dua orang calon lawannya daripada parti Barisan Nasional dan Parti Bebas.

2. YB CHUA TIAN CHANG 

tianchua
Sumber: alchetron.com

Chua Tian Chang, lebih dikenali sebagai Tian Chua ialah ahli parlimen kawasan Batu di Kuala Lumpur dan juga memegang jawatan naib presiden dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mula bertanding bagi kawasan itu di PRU 12 pada tahun 2008, beliau berjaya menewaskan calon lawannya, Lim Si Pin dari Barisan Nasional dengan majoriti 9,455 undian.

Pada PRU 13 juga, kemenangan beliau dalam mempertahankan kedudukannya di Batu menyaksikan peningkatan undian majoriti, iaitu 13,284.

3. YB DATO’ DR. TAN KEE KWONG

3f24
Sumber: says.com

Dato’ Dr Tan Kee Kwong merupakan bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi dan ahli politik dari parti Gerakan di bawah Barisan Nasional.

Walau bagaimanapun, beliau kemudian bertukar arah dan menyertai Parti Keadilan Rakyat dan pada bulan Ogos tahun 2008 dan kini memegang jawatan anggota lembaga disiplin parti itu.

Tidak bertanding dalam PRU 12, beliau kemudian memutuskan untuk bertanding bagi PRU 13 dan menjadi ahli parlimen kawasan Wangsa Maju selepas menang di dalam pilihan raya itu.

4. YB LIM LIP ENG 

sf_20140410_parliament_lim_lip_eng_pc_01_620_412_100
Sumber: www.malaysianchinesenews.com

Lim Lip Eng ialah ahli politik daripada parti DAP dan juga ahli parlimen kawasan Segambut di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau dilantik buat pertama kali di parlimen selepas memenangi kerusi Segambut daripada calon parti Barisan Nasional, di mana kerusi itu juga dianggap sebagai kubu kuat parti gabungan kerajaan itu.

Dalam PRU 13, beliau meraih undian sebanyak 19,199 berbanding 7,732 dalam pilihan raya sebelumnya.

5. YB DATO’ AHMAD FAUZI BIN ZAHARI

img_9767-300x194
Sumber: www.themalaysiantimes.com.my

Dato’ Ahmad Fauzi Zahari merupakan ahli politik Malaysia yang menjawat jawatan Naib Ketua Bahagian Setiawangsa, UMNO Malaysia. Pada Pilihanraya Umum Malaysia yang ke 13, beliau telah mendapat mandat sebagai Ahli Parlimen untuk Setiawangsa (P118), Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Ahmad Fauzi pernah memegang jawatan seperti Ahli Jawatankuasa dan Penolong Setiausaha Pemuda Bahagian Titiwangsa, Penolong Setiausaha Pemuda Bahagian Wangsa Maju, Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Naib Ketua Pemuda Bahagian Wangsa Maju, Ketua Pemuda Bahagian Wangsa Maju, Setiausaha Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Ahli Jawatankuasa Bahagian Wangsa Maju, Ahli Jawatankuasa Bahagian Setiawangsa, Bendahari Bahagian Setiawangsa.

Sekarang beliau menyandang jawatan sebagai Naib Ketua Bahagian Setiawangsa dan Setiausaha Kerja Barisan Nasional Wilayah Persekutuan.

6. YG DATUK JOHARI BIN ABDUL GHANI

johari-deputy-finance-minister-1
Sumber: themalaysianreserve.com

Dato’ Haji Johari Abdul Ghani merupakan ahli parlimen Titiwangsa yang mewakili parti Barisan Nasional. Beliau berjaya menyandang kerusi parlimen itu berikutan kemenangannya dalam PRU 13 pada tahun 2013 dengan menewaskan calon Parti Islam Semalaysia (PAS), ahmad Zamri Asa’ad Khuzami.

Bergiat aktif di dalam dunia politik sejak tahun 1988 lagi, beliau diberi amanah untuk memegang pelbagai jawatan besar di dalam parti dan juga kabinet.

Pada 27 Jun 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Johari sebagai Timbalan Menteri Kewangan berikutan rombakan kabinet baru.

7. YB FONG KUI LUN

200705311
Sumber: fongkuilun.blogspot.com

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun adalah seorang ahli politik daripada DAP dan memegang jawatan bendahari di dalam parti itu.

Fong pertama kali dilantik di parlimen pada tahun 1990 bagi kerusi kawasan Klang, namun lima tahun kemudian, beliau gagal mempertahankan kedudukannya di kawasan itu apabila tewas di tangan Tan Yee Kew dari parti Malaysian Chinese Association (MCA) di bawah Barisan Nasional.

Kembali semula ke parlimen pada tahun 1999, beliau kemudian memenangi kerusi parlimen Bukit Bintang sekali gus dilantik menjadi bendahari DAP pada tahun yang sama.

Sejak itu, beliau berjaya kekal sebagai ahli parlimen Bukit Bintang apabila menang pilihan raya pada tahun 2004, 2008 dan juga 2013.

8. YB NURUL IZZAH ANWAR

Sumber: www.nst.com.my

Nurul Izzah Anwar daripada PKR merupakan anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam PRU 12, beliau dilantik menjadi ahli parlimen kawasan Lembah Pantai apabila menewaskan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dari UMNO dengan meraih undian majoriti sebanyak 2,895.

Beliau kini berada di dalam penggal keduanya sebagai ahli parlimen kawasan itu selepas berjaya mempertahankan kedudukannya dalam PRU 13 daripada calon UMNO Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Karier politik Nurul Izzah bermula dengan penubuhan Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) pada tahun 1999 , di mana beliau memainkan peranan penting dalam penubuhannya, dan kini memenangi jawatan Naib Presiden Parti undi tertinggi buat kali kedua, dan juga dilantik sebagai Pengarah Bersama Jawatankuasa Pilihanraya Pusat KEADILAN – jawatan yang dikongsi bersama Dato Saifuddin Nasution (mantan Setiausaha Agung KEADILAN).
9. YB TERESA KOK SUH SIM
20160327_malaysia-politics-congress_32
Sumber: www.themalaymailonline.com
Teresa Kok Suh Sim atau lebih dikenali sebagai Teresa Kok memegang jawatan setiausaha politik kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang daripada tahun 1990 sehingga 1995.
Pada tahun 1995, beliau bertanding untuk kerusi parlimen di kawasan Ipoh Barat mewakili DAP, namun tewas di tangan calon MCA. Selepas itu, Kok meletak jawatan sebagai setiausaha politik untuk melanjutkan pengajiannya.
Pada pilihan raya umum tahun 1999, beliau bertanding untuk kerusi parlimen di Seputeh dan menang dengan undi majoriti 5,200. Beliau juga berjaya mempertahankan kerusinya di dalam pilihan raya umum yang seterusnya pada tahun 2004, 2008 dan 2013.

10. YB TAN KOK WAI

p2-kok_c1323314_1529_877
Sumber: www.thesundaily.my

Tan Kok Wai memegang jawatan pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP dan merupakan ahli parlimen bagi kawasan Cheras. Tan dilantik di parlimen pada tahun 1995, dan kini sedang berkhidmat pada penggalnya yang kelima secara berturut-turut.

Selain itu, Tan juga amat dikenali dengan ‘pendekatannya yang berani’ dalam segala urusannya.

11. YB TAN SRI ABD KHALID IBRAHIM 

khalid
Sumber: www.thestar.com.my

Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim ialah seorang ahli perniagaan dan juga ahli politik yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Selangor ke-14.

Pada tahun 2006, beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat yang diasaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memegang jawatan bendahari agung.

Dilantik di parlimen pada tahun 2008, beliau kemudian keluar daripada PKR dan menyertai parti bebas pada tahun 2014 sekali gus meletak jawatan sebagai menteri besar.

Kini, beliau adalah ahli parlimen bagi kerusi Bandar Tun Razak mewakili parti bebas.

Show More

Related Articles

Back to top button