AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Perancis: Benoit Hamon, Calon Presiden Parti Sosialis Menang Pusingan Kelayakan Pertama

Keputusan pusingan kelayakan pertama dalam menentukan siapa dari kalangan anggota parti Sosialis yang akan bertanding untuk jawatan Presiden Perancis ternyata mengejutkan ramai pihak.

Benoit Hamon, dikenali sebagai ahli yang ‘radikal’ di dalam parti itu telah memenangi pusingan pertama dengan meraih undian 35.2% manakala Manuel Valls, bekas perdana menteri di bawah kerajaan pimpinan Francois Hollande berada pada tangga yang kedua dengan undian 31%

Tetapi, kedua-dua calon itu mara ke pusingan seterusnya, di mana pemenang bagi pusingan kedua itu akan dipilih untuk menjadi calon di dalam pilihan raya presiden yang akan berlangsung pada bulan April dan May tahun ini.

Menurut laporan, 5 orang anggota parti lain yang berada di kedudukan ketiga dan seterusnya, termasuk bekas menteri ekonomi, Arnaud Montebourg telah tersingkir di dalam pusingan pertama itu.

Walau bagaimanapun, sesiapa yang memenangi pusingan kelayakan kedua yang bakal diadakan pada 29 Januari nanti akan memegang tugas yang amat berat memandangkan parti Sosialis di bawah pentadbiran Presiden Hollande sangat tidak popular.

Mereka perlu memulihkan semula prestasi dan berusaha bertungkus lumus untuk memenangi hati pengundi yang telah bertukar arah kepada calon-calon daripada parti lain.

Sebelum ini, Hamon pernah dipecat oleh Hollande kerana kelantangannya dalam mengkritik dasar-dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh presiden berkenaan.

Dalam pada itu, Hollande juga sudah pun tersingkir daripada perlumbaan presiden kali ini dan memberi isyarat bahawa beliau tidak akan menjadi pemimpin negara itu buat penggal yang kedua.

Sekiranya berjaya di dalam pilihan raya kali ini, Hamon berancang untuk menyediakan pendapatan asas bagi semua rakyat Perancis dan beliau turut menyokong waktu bekerja 35 jam seminggu.

Selain itu, ahli parti Sosialis itu juga berhasrat untuk menghalalkan penggunaan ganja dan amalan ‘bunuh diri’ berkontroversi bernama euthanasia, di mana pesakit-pesakit yang menderita akibat penyakit yang dialami boleh menggunakan cara ini untuk mencabut nyawa mereka dengan cara yang baik dan tidak menyakitkan bagi tujuan untuk mengakhiri penderitaan mereka.

Antara negara yang mengamalkan euthanasia adalah Belgium, Columbia, India, Ireland, Luxembourg, Mexico dan Netherlands, namun cara ini diharamkan di negara-negara lain di dunia.

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button