AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Duterte Arah Tentera Laut Untuk Mengebom Semua Militan Walaupun Tebusan Ada Bersama Mereka

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang turut dikenali sebagai “Trump of the East” (Donald Trump versi Timur), baru-baru ini mengeluarkan kenyataan yang membimbangkan ramai pihak.

Duterte telah mengarahkan pasukan tenteranya untuk mengebom anggota-anggota kumpulan pelampau yang melarikan diri, walaupun mereka membawa tebusan yang diculik bersama mereka.

Menyifatkan kehilangan nyawa orang awam (tebusan) di dalam serangan tersebut sebagai “collateral damage”, langkah itu bertujuan untuk menghentikan aktiviti penculikan di kawasan perairan.

“Jika terdapat penculik dan mereka cuba melarikan diri, bom mereka semua,” kata beliau kepada tentera laut dan juga pengawal pantai.

Ujar Duterte lagi, pendekatan seperti itu juga akan membolehkan kerajaan untuk berada pada ‘tahap yang sama’ seperti kumpulan militan yang menginginkan wang tebusan.

“Anda tidak akan mendapat apa-apa manfaat untuk kesalahan anda, Saya memang akan letupkan anda semua,” katanya.

Lagi menghangatkan keadaan, Duterte turut memberi ‘nasihat’ kepada bakal mangsa supaya “jangan benarkan diri mereka untuk diculik”.

Menurut laporan, kenyataan presiden itu mencerminkan ketakutan dan keterdesakan Filipina serta Malaysia dna Indonesia, dalam menghentikan siri penculikan membabitkan tebusan, terutamanya oleh militan Abu Sayyaf dan sekutu-sekutunya di kawasan perairan.

Pada hari Sabtu lepas, seorang lelaki bersenjata dari kumpulan Abu Sayyaf membebaskan seorang kapten kapal warga Korea Selatan dan anak kapalnya berbangsa Filipina yang diculik tiga bulan lalu daripada kapal kargo mereka.

Anggota Abu Sayyaf itu menyerahkan kedua-dua mangsa culik kepada pemberontak Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), di mana mereka kemudian diserahkan kepada pegawai kerajaan di selatan bandar Jolo di wilayah Sulu.

Difahamkan, pemberontak Moro, yang menandatangani perjanjian damai bersama kerajaan pada tahun 1986, telah membantu untuk berunding bersama puak Abu Sayyaf lain yang ‘lebih ganas’ dalam usaha membebaskan beberapa orang tebusan.

Puak kecil militan itu juga disenarai hitamkan oleh Amerika Syarikat sebagai organisasi pengganas, di mana mereka kerap menjalankan kegiatan menculik, memenggal kepala dan juga pengeboman.

Menurut penasihat Duterte yang berurusan dengan pihak pemberontak, Jesus Dureza, beliau tidak mengetahui tentang sebarang wang tebusan yang dibayar sebagai pertukaran untuk membebaskan anak-anak kapal yang diculik.

Ujarnya lagi, masih terdapat sekurang-kurangnya 27 orang tebusan masih kekal di tangan puak Abu Sayyaf yang berbeza, di mana kebanyakan daripada mangsa anak kapal warga asing.

Selain itu, Abu Sayyaf juga tidak mempunyai sebarang sumber kewangan dan mereka dipercayai meraih kebanyakan ‘pendapatan’ mereka melalui kegiatan penculikan tebusan, ugutan dan pelbagai jenis rompakan lain.

Sebuah laporan sulit penilaian ancaman kerajaan Filipina yang dilihat oleh The Associated Press pada tahun lepas menyatakan bahawa militan meraih sekurang-kurangnya 353 juta pesos (kira-kira RM 31.5 juta) dengan menjalankan penculikan tebusan pada 6 bulan pertama tahun 2016.

Kumpulan militan itu selalu menjadikan bot tunda yang bergerak perlahan di sempadan kawasan perairan selatan Filipina, Malaysia dan Indonesia sebagai sasaran utama mereka.

Sumber: Independent UK
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker