Isu SemasaPolitikTempatan

Bagaimana Sarawak Memilih Ketua Menteri Baharu? Ini Adalah Prosesnya..

Jumaat lepas, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg telah dipilih untuk menjadi Ketua Menteri baharu Sarawak bagi menggantikan tempat Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada hari Rabu.

Adenan yang juga Presiden PBB, mempunyai 40 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala parti-parti komponen BN lain pula mempunyai sejumlah 32 kerusi.

Abang Johari yang juga Timbalan Presiden parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak Ke-6 di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di kediaman rasmi ketua negeri.

Turut dikenali dengan panggilan mesra ‘Abang Jo’, ahli politik veteran berusia 67 tahun itu adalah salah seorang daripada tiga orang timbalan ketua menteri di bawah pimpinan Allahyarham Tok Nan, selain Datuk Amar Douglas Unggah dan Tan Sri Dr James Masing.

Tetapi, tahukah anda bagaimana proses pemilihan calon bagi jawatan Ketua Menteri dilaksanakan di Sarawak?

Menurut seorang pensyarah di Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Azman Awang Azman Awang Pawi, terdapat dua cara untuk melaksanakan proses pelantikan Ketua Menteri iaitu melalui Perlembagaan Negeri seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Pembentukan Malaysia 1963, atau sistem kaukus di bawah perlembagaan PBB, selaku parti tonggak kerajaan negeri Sarawak.

Di bawah Perlembagaan Negeri, Perkara 6 (3) (a) memberi kuasa kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak iaitu Tun Abdul Taib Mahmud untuk memilih Ketua Menteri daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang mendapat keyakinan majoriti anggota DUN itu.

Di dalam sistem kaukus pula PBB pula, semua wakil rakyatnya dari kalangan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan juga senator memainkan peranan besar dalam proses pemilihan calon bagi jawatan tertinggi di dalam kerajaan Sarawak itu.

Oleh itu, sesiapa yang dipilih sebagai Ketua Menteri akan secara automatik dilantik sebagai presiden parti dan pengerusi kaukus.

Tetapi, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, pemilihan calon tidak bergantung kepada hierarki parti.

Ujar beliau lagi, kriteria untuk memilih seseorang calon itu mungkin akan dinilai berdasarkan pengalaman dan tempoh perkhidmatannya.

Untuk pengetahuan anda juga, parti-parti politik utama di negara-negara maju seperti Kanada dan New Zealand turut mengamalkan sistem kaukus untuk melaksanakan proses pemilihan calon pemimpin mereka.

Walau bagaimanapun, pelantikan Abang Jo sebagai Ketua Menteri baharu Sarawak tidak menggunakan sistem kaukus seperti pemilihan Adenan sebelum ini, tetapi berdasarkan Perlembagaan Negeri Sarawak.

Dr. Azman Awang berkata, pucuk pimpinan memutuskan untuk tidak menggunakan sistem kaukus tetapi sebaliknya meminta Yang Dipertua Negeri Sarawak menggunakan peruntukan perlembagaan negeri dalam pemilihan Ketua Menteri Sarawak yang ke-6 demi menjaga keharmonian dalaman parti.

Sumber; MStar, Astro Awani 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button