Isu SemasaPolitikTempatan

Adenan Satem: Pemimpin Berjiwa Rakyat Yang Sukar Dicari Ganti

Ketua Menteri Sarawak yang kelima, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem atau lebih dikenali dengan pangglian mesranya ‘Tok Nan’ adalah seorang pemimpin yang luar biasa dan sukar dicari ganti.

Pemergian beliau yang tidak dijangka semalam ternyata mengejutkan dan merupakan satu kehilangan yang amat besar bukan sahaja bagi rakyat Sarawak, tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Adenan dikenali sebagai seorang insan yang sentiasa berpegang kepada janji-janjinya. Sejak dilantik menjadi Ketua Menteri pada 28 Februari, 2014, beliau menggariskan 53 matlamat untuk dicapai bagi Sarawak sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Walaupun hanya mentadbir Sarawak untuk masa yang singkat, Adenan telah membawa pelbagai perubahan terhadap negeri tersebut.

“Sebagai seorang Ketua Menteri, meskipun hanya berkhidmat tidak sampai tiga tahun namun beliau telah membawa banyak perubahan kepada negeri ini,” kata Setiausaha Agong Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Sebastian Ting.

Antara jasa beliau yang tidak akan dapat dilupakan oleh rakyat Sarawak adalah apabila beliau berdiri teguh dalam melindungi hak-hak mereka yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta berjuang untuk mendapatkan semula kuasa autonomi yang negeri itu telah kehilangan.

Satu langkah yang ketara di dalam usaha ini diambil pada bulan Disember 2015 apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) sebulat suara meluluskan satu resolusi yang memberi mandat kepada kerajaan Negeri untuk melindungi kepentingan istimewa Sarawak, termasuk pendidikan dan penggunaan Bahasa Inggeris.

Ketua Menteri itu juga memansuhkan semua tol, memberi tumpuan penuh terhadap pembangunan di kawasan pedalaman dan juga merapatkan jurang pendapatan demi meringankan beban yang ditanggung oleh penduduk negeri itu.

Ujar Sebastian, Adenan merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat dan juga seorang insan yang amat prihatin dan berjuang sepenuhnya untuk rakyat Sarawak dan demi Sarawak.

Personalitinya yang terbuka dan menghormati kepercayaan rakyat dari pelbagai latar belakang, agama dan bangsa turut disanjung tinggi dan menjadi penanda aras bagi seluruh warga negeri itu.

Selain itu, antara sikap terpuji yang dimiliki oleh Allahyarham adalah beliau tidak takut untuk ‘menghulurkan tangannya’ kepada pihak pembangkang demi kebaikan negerinya.

Tok Nan tidak melihat pembangkang sebagai musuh politiknya secara keseluruhan tetapi beliau turut berpandangan bahawa mereka adalah rakyat Malaysia yang berusaha untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat.

Malah, beliau juga pernah mempelawa ahli-ahli politik dari parti pembangkang  ke pejabatnya untuk makan tengah hari selepas dilantik menjadi pemimpin negeri tersebut.

“Kita harus ingat pembangkang juga adalah rakyat Malaysia yang setia kepada negara. Ia tidak menjadi satu kesalahan untuk memberi mereka peluang untuk bersuara atau mendengar pandangan mereka,” kata Adenan.

Segala pengorbanan dan jasa yang beliau curahkan akan sentiasa dikenang dan warga Sarawak perlu bersama-sama berganding bahu bagi meneruskan legasi yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham sekali gus merealisasikan segala matlamat yang telah digariskan demi masa depan negeri.

Semoga roh Tok Nan dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

 

Sumber: The Borneo Post
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button