Isu SemasaTempatan

Militan Malaysia Mungkin Tidak Akan Dipindahkan Keluar Dari Kem Tahanan Guantanamo Bay

Ditubuhkan pada tahun 2002 ketika era pentadbiran bekas presiden Amerika Syarikat, George W.  Bush, Guantanamo Bay adalah sebuah kem tahanan ketenteraan berkontroversi yang dikhususkan untuk mereka yang terlibat dengan aktiviti keganasan, terutamanya kumpulan Al-Qaeda dan Taliban pada waktu itu.

Ramai pihak dari serata dunia menganggap bahawa kem ini secara jelas melanggar hak asasi manusia kerana mengamalkan sistem ‘tangkap tanpa bicara’ selain daripada menyeksa tahanan-tahanan yang berada di dalamnya sehingga menyebabkan kematian.

Untuk pengetahuan anda, terdapat dua orang rakyat Malaysia bernama Mohd Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep yang diletakkan di dalam Guantanamo Bay kerana penglibatan mereka dengan Al-Qaeda dan juga kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI).

st_20161114_vngitmo3_2740028
Mohd Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep – Sumber: Straits Times

Baru-baru ini, portal berita antarabangsa melaporkan Presiden Barack Obama bercadang untuk memindahkan sekurang-kurangnya 18 orang tahanan dalam masa beberapa hari selepas mengumumkan pemindahan 4 orang tahanan ke Saudi Arabia.

Difahamkan, golongan yang dipindahkan ini adalah mereka yang telah berada di kem tahanan tersebut lebih daripada satu dekad.

Berdasarkan sebuah sumber tentera, seramai 22 orang tahanan akan dipindahkan keluar daripada kem tersebut sebelum 20 Januari ini.

Walau bagaimanapun, sumper perisikan menolak kemungkinan buat waktu ini mengenai pemindahan kedua-dua orang anggota militan itu ke Malaysia.

“Ia adalah satu proses yang panjang dan sukar. Kedua-dua negara perlu bersetuju tentang kaedah pemindahan dan lokasi yang sesuai serta tempoh (berapa lama) untuk menahan banduan-banduan ini di Malaysia,” dedah sebuah sumber.

Difahamkan, pentadbiran Obama berhasrat untuk mendakwa dan menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua anggota militan itu di mahkamah tentera AS bagi tempoh tertentu, di mana baki tempoh selebihnya akan dilaksanakan di Malaysia.

Sumber menyatakan bahawa terdapat dua masalah berhubung proses ini, di mana yang pertama adalah Malaysia tidak mengiktiraf kuasa mahkamah tentera, manakala masalah kedua pula adalah Malaysia mungkin mahu menahan mereka di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA), namun AS tidak bersetuju dengan cara itu.

Selain itu, kedua-dua orang banduan itu juga disifatkan sebagai anggota militan yang berkedudukan tinggi dengan pengaruh yang besar.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8), Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Mohd Farik merupakan seorang pakar letupan dan antara dalang yang terlibat di dalam pengeboman JW Marriot Hotel di Jakarta pada tahun 2003.

Mohammed Nazir pula mempunyai kepakaran khusus sebagai penggodam dan sasaran individu penting AS di rantau ini.

“Ada kemungkinan tinggi mereka akan kembali kepada kehidupan militan dan menyertai kumpulan lain terutamanya Negara Islam (IS),” katanya.

Ujar Ayob lagi, Jika Mohd Farik dan Mohammed Nazir berjaya dibawa pulang ke Malaysia, polis akan meletakkan mereka dalam program deradikalisasi sebagai usaha pemulihan.

“Program kami telah terbukti berkesan dan kedua-dua mereka pasti dapat melaluinya. Kami komited dalam menjalankan program pemulihan di deradikalisasi militan,” jelasnya.

Sumber: The Star

 

Show More

Related Articles

Back to top button