AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Amerika Syarikat: Presiden Obama Ucapkan Selamat Tinggal

Hari ini, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah mengucapkan selamat tinggal di Chicago sekali gus menandakan perunduran tidak rasminya sebagai presiden sebelum majlis angkat sumpah Donald Trump yang akan berlangsung pada 20 Januari tidak lama lagi.

Di dalam majlis tersebut, beliau turut meraikan segala pencapaiannya ketika memegang jawatan tertinggi di Rumah Putih serta memberi ‘amaran’ untuk masa yang akan datang.

Menurut Obama, tugas berkaitan demokrasi tidak pernah mudah, di mana beliau menyifatkannya sebagai “seperti mengambil dua langkah kehadapan tetapi satu langkah tertinggal di belakang.”

Sepanjang pentadbirannya selama dua penggal (8 tahun), presiden berketurunan Afrika-Amerika (berkulit hitam) yang pertama tersebut berjaya melakukan pelbagai perubahan positif terhadap negara itu, antaranya adalah mewujudkan peluang pekerjaan, memberi hak perlindungan insurans untuk 20 juta rakyat AS, dan menamatkan misi ketenteraan di Iraq dan Afghanistan.

“Jika saya beritahu anda yang kita akan melakukan semua itu 8 tahun lalu… anda mungkin akan kata impian kami terlalu tinggi. Tetapi, itulah apa yang kami telah lakukan,” ujar beliau.

Namun begitu, Obama turut mengakui perkembangan negara tidak begitu ‘rata’ berikutan pelantikan Trump sebagai presiden AS ke-45, tetapi beliau berjanji kepada Trump bahawa pentadbirannya akan memastikan peralihan kuasa berjalan dengan lancar kerana budaya politk negara perlu mencerminkan “kesopanan” rakyat Amerika.

Memberi amaran kepada jutawan hartanah itu, Obama berkata beliau menolak sekeras-kerasnya diskriminasi terhadap rakyat AS beragama Islam sambil menegaskan bahawa masyarakat Muslim juga adalah rakyat yang patriotik sama seperti yang lain.

Selain itu, Obama berikrar untuk meneruskan usaha memerangi keganasan dengan berkata: “IS akan dimusnahkan dan tiada siapa yang mengancam Amerika akan terselamat.”

Disayangi dan disegani oleh para penyokongnya, Obama berundur dengan penuh penghormatan sebagai seorang presiden yang agak “popular”, di mana beliau menerima rating yang memberangsangkan oleh pengundi sebanyak 55% dan 57%.

Walau bagaimanapun, kira-kira 2/3 rakyat yang berpandangan bahawa beliau gagal mengotakan janji-janjinya yang terkandung di dalam manifesto pilihan raya sebelum ini.

Ketika berucap, presiden AS ke-44 itu turut menitiskan air mata ketika memberi penghargaan kepada isterinya, Michelle Obama yang telah berada di sampingnya selama 25 tahun.

“Sejak 25 tahun lalu, anda bukan sahaja menjadi isteri saya dan ibu kepada anak-anak saya, tetapi anda juga menjadi kawan baik saya,” katanya kepada Michelle.

Sumber: Sky News

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker