AntarabangsaIsu Semasa

Filipina: 158 Banduan Melarikan Diri Semasa Penjara Diserang Pemberontak

Permulaan tahun 2017 tidak berapa baik bagi segelintir negara luar yang terpaksa mengharungi tragedi serangan pengganas.

 

Ketika sedang menyambut tahun baru, seorang lelaki bersenjata yang memakai kostum Santa Claus menyerang sebuah kelab malam di Turki yang mengorbankan kira-kira 39 orang mangsa.

 

Beberapa hari selepas itu, satu lagi insiden serangan berlaku di sebuah penjara di Daerah Cotabato Utara, selatan Filipina, di mana seramai 158 orang banduan berjaya ‘mengambil kesempatan’ untuk melarikan diri di tengah-tengah pertempuran itu.

 

Menurut laporan, ini adalah kes ketiga dan terbesar di dalam sejarah Filipina yang membabitkan insiden banduan melarikan diri daripada penjara.

 

Pihak berkuasa penjara berkata, kira-kira 100 orang lelaki bersenjata yang dipercayai daripada kumpulan pemisah Islam muncul di lokasi kejadian pada kira-kira jam 1 petang waktu tempatan dan terus melepaskan tembakan di penjara yang mempunyai lebih daripada 1,500 orang banduan itu.

 

Ekoran itu, pertempuran tembak-menembak di antara penyerang dan pengawal berlangsung selama dua jam sehingga menyebabkan seorang pengawal penjara dan 6 orang banduan pelarian terbunuh.

 

Selain itu, terdapat segelintir banduan yang lari ke bahagian belakang penjara dan memanjat dinding dengan menyusun katil mereka untuk digunakan sebagai ‘platform memanjat’.

 

Warden penjara, Peter Bonggat dalam satu kenyataan berkata, “banduan mengambil peluang ekoran kekacauan. Mereka menggunakan tempat tidur mereka, menyusun ia antara satu sama lain dan melarikan diri.”

 

Ujar Bonggat lagi, beliau mempercayai bahawa serangan tersebut bertujuan untuk membebaskan beberapa anggota pemberontak pemisah Islam yang berada dalam tahanan.

 

Dalam pada itu, pihak polis telah memulakan operasi memburu tahanan yang melarikan diri. Setakat ini, 21 orang berjaya ditahan, namun 5 orang telah meninggal dunia sewaktu operasi dijalankan.

 

Sumber: BBC
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button