AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Indonesia: Rakan Niaga Donald Trump Sasar Jawatan Presiden

Selepas jutawan hartanah Donald Trump bertanding untuk jawatan presiden, ramai personaliti daripada pelbagai latar belakang turut ingin mengikut jejak langkahnya.

Di inspirasikan daripadanya, seorang rakan niaga bakal Presiden Amerika Syarikat itu yang berasal daripada Indonesia baru-baru ini mendedahkan beliau kemungkinan akan bertanding untuk jawatan presiden negara itu.

Hary Tanoesoedibjo, yang kini sedang mengendalikan dua projek Trump Organisation menjelaskan bahawa beliau sedang mempertimbang untuk menjadi calon di dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia pada tahun 2019 nanti “demi negaranya”.

“Jika tiada sesiapa yang saya percaya mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah negara, saya boleh cuba untuk bertanding jawatan presiden,” kata pemaju hartanah itu yang juga mempunyai parti politiknya sendiri.

Ujar Tanoesoedibjo lagi, Indonesia memerlukan seorang pemimpin berintegriti yang boleh membawa penyelesaian untuk negara.

Namun menurut laporan,  sekiranya jutawan berusia 51 tahun itu berjaya memenangi jawatan tertinggi itu, ia bermakna dunia akan mempunyai dua pemimpin yang telah menjadi rakan kongsi, di mana kejadian ini turut akan menimbulkan kebimbangan baru dari aspek konflik kepentingan yang berkaitan dengan empayar perniagaan.

Di Indonesia, beliau kini sedang mengendalikan projek Trump di luar Jakarta dan salah sebuah resort di Bali. Difahamkan, kedua-dua projek itu masih berada di fasa awal.

Berdasarkan maklumat yang disiarkan di laman web Trump Hotels, projek di Indonesia itu merangkumi pembinaan hotel mewah, padang golf, serta country club dan villa, manakala di Bali pula, sebuah resort akan dibina di atas tebing yang menghadap  sebuah kuil Hindu popular di sana.

Di dalam sebuah sesi temubual bersama New York Times sebelum ini, Tanoesodibjo menegaskan bahawa beliau tidak rasa projek-projek yang dilaksanakan akan menimbulkan konflik kepentingan bagi Trump.

Trump, yang akan menjadi Presiden AS secara rasmi pada 20 Januari tidak lama lagi, memutuskan untuk ‘keluar’ daripada perniagaannya pada bulan Disember lalu sambil menegaskan “tiada urus niaga” baru akan dilakukan sepanjang tempoh kepimpinan beliau.

Sehubungan dengan itu, perniagaan ahli Republikan tersebut telah diserahkan dan akan diuruskan oleh dua orang anak lelakinya.

“Keluarga serta anak-anaknya mempunyai kebebasan untuk melakukan perniagaan selagi ia tidak ada kaitan dengan kedudukan presiden,” kata Tanoesoedibjo.

Sumber: AFP
Show More

Related Articles

Back to top button