AntarabangsaIsu Semasa

Lawatan Ke Pearl Harbor: PM Jepun Berikrar Tidak Akan Memulakan Peperangan Lagi

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melakar sejarah baru apabila kedua-dua pemimpin itu melakukan lawatan ke Pearl Harbor.

Untuk pengetahuan anda, ini adalah pertama kali dalam sejarah pemimpin daripada negara Jepun dan AS untuk mengadakan lawatan bersama ke lokasi yang mempunyai sejarah hitam itu.

Setelah mengenang insiden Perang Dunia Kedua yang berlaku di sana,  Abe memberi penghormatan kepada mereka yang telah terkorban serta berikrar bahawa negara Jepun tidak akan lagi memulakan peperangan terhadap negara lain.

“Jangan sesekali kita mengulangi kengerian peperangan lagi. Ini adalah ikrar yang kami, rakyat Jepun telah ambil,” ujar beliau di dalam ucapannya.

Mengimbas kembali sejarah, tentera Jepun melancarkan serangan terhadap armada Amerika Syarikat di pangkalan Hawaii Pearl Harbor pada bulan Disember 1941, di mana serangan itu mengorbankan kira-kira 2,400 kakitangan.

Dalam pada itu, lawatan tersebut turut diadakan untuk menunjukkan kesepakatan yang kuat di antara kedua-dua kuasa besar itu di tengah-tengah kebimbangan mereka mengenai kekuatan China yang semakin meningkat serta kebimbangan terhadap hubungan AS dan Jepun yang akan menjadi lebih rumit selepas Donald Trump mengambil alih jawatan presiden pada bulan Januari 2017.

Walau bagaimanapun seperti yang dijangka, Abe tidak memohon maaf di atas serangan yang dilakukan oleh Jepun terhadap Pearl Harbor pada waktu itu, tetapi menurut Obama, lawatan tersebut adalah lawatan yang bersejarah dan juga peringatan bahawa “luka di dalam peperangan boleh mendatangkan persahabatan dan keamanan yang kekal”.

Awal tahun ini, Obama turut melakukan lawatan ke bandar Hiroshima, lokasi di mana AS telah menggugurkan bom atom  yang menyumbang kepada kekalahan Jepun di dalam perang dunia itu pada tahun 1945.

Selain itu, beliau juga adalah Presiden AS yang pertama untuk melawat lokasi peperangan itu selepas tamatnya Perang Dunia Kedua.

Menurut penasihat kanan Asia Obama di Rumah Putih, Daniel Kritenbrink, lawatan ke Pearl Harbor dan Hiroshima mungkin tidak akan dicapai 8 tahun lalu.

“Kita berada di sini hari ini adalah hasil daripada usaha bertahun-tahun pada setiap peringkat kerajaan dan masyarakat kita, yang membolehkan kita untuk bersama-sama dan secara langsung menangani aspek yang paling sensitif di dalam sejarah kita bersama,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close