AntarabangsaIsu Semasa

Aleppo: Pemindahan Besar-Besaran Adalah “Pembersihan Politik”

Pergolakan yang berlaku di bandar Aleppo, Syria telah mengorbankan nyawa beribu-ribu penduduk di negara itu termasuk wanita dan kanak-kanak.

Selain itu, pemindahan penduduk besar-besaran turut dilancarkan dalam usaha menyelamatkan mereka daripada terperangkap di dalam konflik yang masih tiada penghujungnya itu.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 25,000 penduduk Aleppo telah dipindahkan, manakala kerajaan Turki pula menyatakan angka yang berbeza, iaitu 35,000.

Tidak dinafikan bahawa pemindahan ini telah menyelamatkan beribu-ribu nyawa daripada kekejaman kerajaan, yang dipimpin oleh Bashar Al-Assad. Namun menurut laporan Sky News, ia juga dianggap sebagai “pembersihan politik” yang melibatkan beribu-ribu orang.

Untuk pengetahuan anda, pembersihan politik adalah apabila sesebuah kerajaan itu menghapuskan penduduk/kumpulan tertentu di kawasan tertentu mengikut kehendak mereka bagi tujuan politik.

Pada tahun 90-an di Balkan, seluruh kawasan tersebut telah dikosongkan dengan pemindahan atau orang ramai melarikan diri dengan sendiri kerana takut dengan kekejaman kumpulan pemberontak lalu mewujudkan istilah “pembersihan etnik”.

Di Aleppo pula, pembersihan yang dilakukan ini bukan atas dasar etnik, tetapi atas dasar politik. Perkara ini terjadi kerana ketakutan penduduk terhadap kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan mereka dan juga kuasa-kuasa luar.

Penduduk di sana takut terhadap dua perkara utama. Pertama adalah kerana pengeboman yang dilakukan oleh Rusia beserta pesawat pejuang sekutu Syria.

Yang kedua pula, penduduk masih takut untuk tinggal di sana walaupun aktiviti pengeboman dihentikan dalam tempoh gencatan senjata.

PBB berkata, terdapat bukti yang boleh dipercayai bahawa lelaki, wanita dan juga kanak-kanak di bawa keluar daripada rumah mereka dan ditembak oleh anggota tentera rejim dan sekutu mereka.

Ketika rejim Al-Assad melakukan operasi pengepungan di Aleppo, penduduk-penduduk di bandar itu hidup bersama-sama pasukan pemberontak.

Sejak pemberontakan bermula pula, beribu-ribu orang yang tidak bersalah di seluruh Syria telah ditangkap dan diseksa kerana disyaki membantu pasukan pemberontak untuk menentang rejim yang kejam.

Kini, penduduk-penduduk yang sudah pun dipindahkan dibawa ke wilayah Idlib, sebuah kawasan yang didominasi oleh kumpulan-kumpulan ekstremis.

Ini akan memberi ‘alasan yang lebih kukuh’ kepada Rusia dan Syria sekiranya mereka ingin melakukan serangan udara, di mana seluruh dunia akan turut ‘menutup sebelah mata’.

Sumber: Sky News

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button