AntarabangsaIsu Semasa

AS: Lelaki Tidak Bersalah Dipenjarakan 31 Tahun Dan Hanya Terima Pampasan $75

Pada awal bulan Disember tahun ini, seorang lelaki di China yang telah pun meninggal dunia kerana dijatuhkan hukuman mati atas tuduhan merogol dan bunuh seorang wanita pada tahun 1995 didapati tidak bersalah ekoran bukti yang tidak mencukupi.

Mahkamah Agung Rakyat (SPC) di negara itu mengakui bahawa kelemahan sistem pengadilan mereka telah menyebabkan perkara sebegini untuk berlaku.

Sehubungan dengan itu, insiden yang serupa pernah terjadi pada seorang lelaki Tennessee, Amerika Syarikat, di mana beliau terpaksa menjalani kehidupan perit di penjara selama 31 tahun atas kesalahan yang beliau tidak lakukan.

Pada tahun 1977, Lawrence McKinney, berusia 22 tahun pada waktu itu, dituduh merogol seorang wanita yang merupakan jirannya.

161216143727-02-tn-man-recieves-75-after-being-wrongfully-convicted-exlarge-169
Lawrence McKinney – Sumber: CNN

Dari aspek undang-undang, beliau disabitkan bersalah atas jenayah rogol dan rompak pada tahun berikutnya yang mengenakan hukuman penjara selama 115 tahun.

Tetapi pada tahun 2008, hasil ujian DNA menunjukkan bahawa McKinney tidak bersalah lalu dibebaskan setahun kemudian.

Namun, beliau hanya menerima pampasan sebanyak $75 (RM336) daripada Department of Corrections di Tennessee untuk memulakan hidup baru.

Lebih mengeruhkan keadaan, ia mengambil masa tiga bulan baginya untuk menerima wang tersebut kerana beliau tidak memiliki kad pengenalan.

Kini, bekas banduan yang tidak bersalah itu akan mengemukakan petisyen kepada gabenor negeri itu, Bill Haslam, agar memberi beliau pampasan sebanyak $1 juta sebagai ganti rugi selama 31 duduk di dalam penjara.

lawrence-mckinney1-1
Sumber: scallywagandvagabond.com

Sebelum ini, beliau pernah membuat permohonan pada tahun 2010 kepada bekas gabenor, Phil Bredesen, tetapi tiada sebarang tindakan susulan yang diambil.

Walau bagaimanapun, petisyen McKinney yang terbaru ini telah ditolak oleh ahli Lembaga Parol dengan undian 7-0 dalam sebuah sesi pendengaran pada bulan September.

“Lembaga Parol telah menyemak semua maklumat berkait jenayah tersebut, kesalahan dan rayuan susulan, serta segala maklumat yang disediakan oleh pemberi petisyen,” kata Melissa McDonald, jurucakap Lembaga Pengarah Parol Tennessee.

“Selepas mengambil kira semua bukti, lembaga tidak mendapat sebarang bukti yang jelas dan meyakinkan yang menunjukkan beliau tidak bersalah dan enggan mengesyorkan pengampunan dalam perkara ini,” ujarnya lagi.

161216143521-01-tn-man-recieves-75-after-being-wrongfully-convicted-exlarge-169
McKinney bersama peguamnya – Sumber: CNN

Namun, salah seorang peguam McKinney, Jack Lowery, mempercayai bahawa keputusan sepatutnya bergantung pada Haslam sepenuhnya.

“Lembaga Parol tidak layak dan tidak patut membuat keputusan-keputusan ini,” katanya.

Ujar beliau lagi, ia adalah satu perkara yang tidak masuk akal memandangkan kebanyakan ahli lembaga parol tidak dilatih dalam bidang undang-undang.

Walaupun ini adalah kali kedua permohonan beliau ditolak, McKinney tetap kekal tabah dan tidak sedikit pun menunjukkan perasaan marah.

Tetapi, beliau akur bahawa ini adalah peluang terakhir baginya untuk mendapat pembebasan daripada tuduhan memandangkan beliau pernah membuat permohonan sebelum ini.

“Walaupun saya telah menghabiskan lebih setengah daripada hidup saya terkurung di dalam penjara atas kesalahan yang saya tidak lakukan, saya tidak kecewa atau marah terhadap sesiapa,” katanya sambil menambah bahawa beliau semakin mendekatkan diri dengan tuhan dan berkahwin dengan seorang isteri yang baik.

“Apa yang saya ingin minta adalah supaya saya dilayan dengan baik dan adil terhadap apa yang telah berlaku kepada saya. Saya tidak melakukan apa-apa dan saya hanya ingin dilayan dengan baik,” ujarnya lagi.

Sumber: CNN
Tags
Show More

Related Articles

Back to top button