AntarabangsaIsu Semasa

Filipina: Tentera Mengesahkan Kewujudan Pengganas Asing Di Mindanao

 Pada 14 Disember 2016, pihak tentera Filipina mengesahkan kewujudan pengganas asing yang berada di bawah perlindungan kumpulan militan tempatan, Abu Sayyaf di Mindanao.

Menurut jurucakap Pusat Arahan Tentera Barat Mindanao (Westmincom), Mejar Filemon Tan Jr., maklumat yang diterima adalah hasil operasi risikan yang berterusan daripada beberapa siri serangan pihak tentera.

Walau bagaimanapun, Tan enggan berkongsi maklumat lanjut tentang elemen-elemen pengganas asing yang menetap di sana kerana sebarang pendedahan boleh menjejaskan operasi mereka.

“Kita tidak boleh menyatakan angka disebabkan keadaan operasi, tetapi ia wujud,” katanya.

Baru-baru ini juga, Presiden Rodrigo Duterte telah memberi amaran bahawa kehadiran pengganas asing di negara itu tidak dapat dielakkan memandangkan terdapat ‘tuan rumah’ yang melindungi mereka di Mindanao.

Tan turut menyatakan tentera darat sedar akan cabaran yang sedang mereka hadapi sambil memberi jaminan kepada orang ramai bahawa mereka akan menangani ancaman tersebut sebelum ia berada di luar kawalan.

Setakat ini, operasi menentang Abu Sayyaf di Sulu masih berterusan dalam usaha untuk membebaskan sekurang-kurangya 23 orang lagi tebusan yang terdiri daripada 18 orang warga asing dan 5 warga tempatan.

Daripada 18 tebusan warga asing tersebut, 1 adalah warga Jerman, 1 warga Belanda, 1 warga Korea, 5 warga Malaysia, 4 warga Indonesia dan 6 warga Vietnam.

Sehubungan dengan itu, salah seorang tebusan warga tempatan yang termuda bernama Ricson Romoc, berusia 9 tahun.

Kanak-kanak itu diculik bersama kedua ibu bapanya dari Payao, Zamboanga Sibugay sejak bulan Ogos lagi. Namun, ibu bapa Ricson telah pun dibebaskan secara berasingan selepas wang tebusan diberi kepada pihak pengganas.

Ujar Tan lagi, operasi membanteras keganasan turut dilaksanakan di Basilan untuk ‘membersihkan’ wilayah Abu Sayyaf itu.

Berdasarkan laporan, militan Abu Sayyaf di kawasan itu telah membawa masuk tiga orang pengganas asing.

“Operasi keselamatan berterusan dan ia tidak akan berhenti. Ia tidak bermakna kita akan berhenti apabila berlaku pertembungan.

“Pertembungan tersebut adalah hasil daripada pembentukan risikan dan operasi ketenteraan awam,” kata jurucakap Westmincom itu.

Sumber: Phil Star Global
Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker