AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Mengapa China Marah Apabila Trump Menghubungi Presiden Taiwan?

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebelum dilantik sebagai pemimpin Rumah Putih secara rasmi pada tahun 2017, mencetuskan kontroversi luar biasa apabila beliau menghubungi presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, di mana tindakannya itu boleh menjejaskan hubungan dua hala AS dan China.

Panggilan telefon itu juga adalah yang pertama diantara presiden kedua-dua negara itu selepas bekas presiden, Jimmy Carter memutuskan untuk mengakhiri hubungan diplomatik dengan Taiwan dan sebaliknya memilih untuk menjalin hubungan bersama China pada tahun 1979.

Menurut Trump, Ing-wen telah menghubunginya dahulu untuk menyampaikan ucapan tahniah di atas kemenangannya pada pilihan raya presiden bulan lepas.

Tetapi, perbualan telefon berdurasi 10 minit itu mengundang kemarahan China kerana ia bercanggah dengan protokol hubungan diplomatik AS dan China yang telah terjalin selama berdekad-dekad.

China menganggap Taiwan sebagai “negeri pembelot” kerana mengikut sejarahnya,  Taiwan merupakan sebahagian daripada China sehinggalah mereka keluar daripada negara itu dan menubuhkan sebuah negara yang merdeka.

Namun, sejak tahun 1979, AS mengiktiraf tuntutan China bahawa Taiwan adalah sebahagian daripadanya, di mana hubungan diplomatik AS-China adalah berlandaskan protokol yang dikenali sebagai polisi “Satu China”.

Ini bermakna, AS dan Taiwan tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik rasmi bersama Taiwan dan sebab itulah tindakan Trump menjawab panggilan daripada Ing-wen berpotensi untuk menjejaskan hubungan AS-China.

Lagi mengeruhkan keadaan, pasukan peralihan kepimpinan Trump memaklumkan dalam satu kenyataan bahawa kedua-dua pemimpin itu (Trump dan Ing-wen) akan meneruskan hubungan rapat ekonomi, politik dan keselamatan.

Menurut pejabat Presiden Taiwan pula, AS dan Taiwan akan mengadakan perbincangan untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta merapatkan kerjasama yang sedia ada.

Walau bagaimanapun, China menyifatkan tindakan Taiwan itu sebagai satu perkara yang menjengkelkan dan menyatakan bahawa mereka tidak akan mampu mengubah polisi ‘Satu China’ yang diiktiraf dan dikenali di peringkat antarabangsa.

Menteri Luar China, Wang Yi berkata, pihaknya telah membuat aduan kepada kerajaan AS, di mana AS telah memberi jaminan bahawa hubungan diplomatik mereka tidak akan terjejas dan mereka akan kekal mematuhi polisi “Satu China” itu (mengiktiraf Beijing sebagai satu-satunya kerajaan China).

“Saya percaya perbualan tele­fon itu tidak akan mengubah polisi yang sudah lama diamalkan antara Beijing dan Washington. AS tidak akan menjalin hubu­ngan diplomatik rasmi dengan Taiwan,” katanya Wang Yi

Sumber: CNN, Utusan

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button