AntarabangsaIsu Semasa

Indonesia: Subjek Pendidikan Islam Di Sekolah Perlu Diperbaharui

Dalam sebuah negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam seperti di Indonesia, pendidikan Islam di sekolah-sekolah awam perlu memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai-nilai toleransi dikalangan pelajar.

Tetapi, sebuah kajian yang dilancarkan oleh Kementerian Hal-Ehwal Agama di negara itu mendapati bahawa pendidikan Islam yang diajar di dalam bilik darjah pada masa kini memberi terlalu banyak fokus terhadap teori dan aspek ritual Islam dan kurang menekankan toleransi agama.

Menurut Kemitraan untuk Pengembangan Kapasitas dan Analisis Pendidikan (ACDP), pelbagai nilai murni berkaitan dengan keamanan, toleransi dan demokrasi boleh dijumpai di dalam Al-Quran, tetapi guru-guru pendidikan Islam tidak mampu untuk mentafsirkan prinsip-prinsip ini kepada pelajar mereka.

Selepas menebual 159 orang pelajar dan 146 orang guru pendidikan Islam di empat buah bandar di seluruh negara, ACDP turut mendapati bahawa kebanyakan pelajar mempunyai pemahaman yang amat sedikit tentang nilai keamanan dan toleransi kerana guru-guru mengelak dari membincangkan isu-isu antara agama di dalam kelas.

ACDP bertanya kepada dua orang pelajar Muslim di Medan sama ada mereka selesa untuk menyatakan ucapan Krismas kepada pelajar beragama Kristian atau pun tidak.

Salah seorang daripadanya berkata: “Guru pendidikan Islam kami melarang kami daripada mengucapkan “Merry Christmas” kerana ia membawa makna bahawa kita percaya (beriman) kepada sambutan keagamaan itu”.

“Saya meminta maaf kepada rakan-rakan saya yang beragama Kristian kerana menyatakan ucapan Krismas adalah haram mengikut kepercayaan saya,” kata seorang lagi pelajar.

Daripada kajian ini, penasihat ACDP, Muljani Nurhadi berkata bahawa selain daripada rakan-rakan, keluarga, dan ibu bapa, kebanyakan pelajar meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada guru-guru pendidikan Islam mereka.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa subjek pendidikan Islam juga adalah subjek yang paling tidak popular dikalangan pelajar di sekolah awam kerana ia disampaikan dengan cara yang dogmatis (tidak berfikiran terbuka dan terlalu fanatik terhadap sesuatu kepercayaan/agama) lalu membuatkan subjek itu “bosan”.

Sedangkan sebenarnya, pendidikan Islam sepatutnya boleh memupuk budaya keamanan dan toleransi memandangkan Islam adalah sebuah agama sangat menggalakkan sifat al-taaruf (sinergi), al-shura (perbincangan dan kesepakatan), al-taawun (kerjasama), al-amanah (kepercayaan), husnudzan (bersangka baik), al-takaful (berkongsi kesusahan bersama) dan al-afwu (kemaafan).

Nilai-nilai di atas juga boleh digunakan untuk menangani gejala radikalisme, menurut kajian itu.

Oleh itu, ACDP mencadangkan kerajaan, melalui Kementerian Hal-Ehwal Agama untuk memperbaharui pendidikan Islam agar ia menerapkan nilai-nilai berkaitan keamanan, toleransi dan demokrasi dikalangan pelajar.

Sumber: The Star

Show More

Related Articles

Back to top button