AntarabangsaIsu Semasa

Putera Arab Saudi: “Mansuhkan Sekatan Memandu Terhadap Wanita”

Arab Saudi merupakan antara negara yang mempunyai sekatan keras terhadap wanita dan juga satu-satunya negara di dunia ini yang mengharamkan wanita daripada memandu kenderaan.

Menerusi laman Twitter dan blognya, seorang ahli keluarga diraja, Putra AlWaleed menggesa agar negaranya itu memansuhkan sekatan memandu terhadap wanita.

“Sudah tiba masanya untuk wanita bermula memandu kenderaan mereka dan sudah tiba masanya kita berubah arah berhubung isu ini,” kata beliau.

Al-Waleed, seorang hartawan, tidak memegang sebarang jawatan di dalam kerajaan, namun beliau adalah seorang pelabur global yang terkemuka.

Menurutnya, sekatan memandu terhadap wanita yang telah sekian lama berkuatkuasa di negara itu melanggar hak asasi wanita sekali gus memberi impak terhadap ekonomi memandangkan ia menyukarkan mereka untuk bekerja.

“Terdapat lebih daripada satu juta orang wanita Saudi yang memerlukan pengangkutan yang selamat untuk membawa mereka ke tempat kerja setiap pagi,” ujarnya.

Dalam kebanyakan kes, golongan wanita di negara itu terpaksa mengupah pemandu peribadi, mengambil teksi ataupun bergantung kepada suami mereka untuk bergerak ke mana-mana.

Al-Waleed berkata, situasi ini secara terang-terangan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara kerana ia menjejaskan produktiviti tenaga kerja.

Sebagai contoh, para suami terpaksa meninggalkan tempat kerja sementara untuk mengambil isteri mereka, di mana hal ini akan mengganggu prestasi mereka di pejabat.

Awal tahun ini, kerajaan Arab Saudi menetapkan visi ekonomi baru tahun 2030 yang tertakluk di bawah rancangan reformasi timbalan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman, di mana ia menggariskan cara-cara untuk mempelbagaikan pendapatan negara.

Setakat ini, kerajaan telah memperkenalkan cukai jualan, mengurangkan subsidi tenaga dan air, memotong gaji pegawai-pegawai berpangkat tinggi serta meminjam berbilion-bilion wang untuk menstabilkan semula ekonomi.

Selain itu, salah satu bahagian penting di dalam rancangan reformasi tersebut adalah untuk meningkatkan penglibatan wanita di dalam tenaga kerja daripada 22% ke 30%.

Di dalam penulisannya, Alwaleed turut menggariskan agar beberapa faktor seperti kewangan, eknomi, keagamaan dan politik di ambil kira untuk memansuhkan sekatan memandu ini.

“Ini semua adalah tindakan tidak adil sebuah masyarakat tradisional, ia jauh lebih menyulitkan berbanding apa yang ditetapkan agama,” ujarnya.

Secara purata, keluarga yang mengupah pemandu luar akan dapat jimat wang sebanyak 3,800 riyal (AS$1,000) setiap bulan jika wanita dibenarkan untuk memandu sendiri.

Walau bagaimanapun, tidak semua orang yang bersetuju dengan cadangan putera hartawan berkenaan.

Seorang pengguna Twitter wanita berkata: “Keutamaan sepatutnya diberi dalam menyelesaikan masalah pengangguran, kemiskinan dan perkhidmatan awam yang lemah sebelum membenarkan wanita memandu.”

Sumber: CNN Money

Show More

Related Articles

Back to top button