AntarabangsaIsu Semasa

Luar Negara Minggu Ini #8 – Burqa | MRT | Syria | China | Korea

1. Polis UK Mempertimbang Pemakaian Burqa

801122-burqa
Pemakaian Burqa – Sumber: www.news.com.au

Pemakaian burqa kini sedang dalam proses pertimbangan oleh salah satu cabang terbesar polis di Britain.

Menurut laporan Dailymail,  perbincangan dibuat selepas terdapat kemungkinan peningkatan penyertaan untuk menjadi anggota polis dari etnik kulit hitam dan minoriti.

Dalam sebuah mesyuarat baru-baru ini, Ketua Konstabel David Thompson dari West Midlands Police, terfikir untuk membenarkan pemakaian pakaian tersebut untuk menjaga sensitiviti dan budaya lain.

Beliau berkata, kebenaran untuk memakai burqa ini mungkin akan meningkatkan penyertaan orang awam ke dalam bidang penguatkuasaan sebanyak 30 peratus.

“Buat masa ini tiada sebarang permintaan dari anggota polis wanita Muslim, tetapi jika diminta, kami akan memikirkannya,” jelas David.

Metropolitan Police sebelum ini telah memperkenalkan tudung dan telah dibenarkan pemakaiannya dalam beberapa pasukan di beberapa tempat seperti Scotland.

2. Dua Staf Dipecat Akibat Kemalangan MRT di Singapura

mrt-singapore-500x340
MRT Singapura – Sumber: marinabaysands.com

Insiden kemalangan yang meragut nyawa dua orang pelatih SMRT pada bulan Mac lalu telah membawa kepada pemecatan dua kakitangan SMRT.

Memetik laporan Berita Mediacorp, perkara itu disahkan oleh Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU).

Menurut Setiausaha Eksekutif NTWU, Melvin Yong, pihaknya meminta SMRT tidak mengambil tindakan ke atas kakitangan tersebut sehingga siasatan rasmi selesai dijalankan.

“NTWU sebelum ini pernah menulis surat kepada SMRT supaya jangan mengambil sebarang tindakan ke atas pekerja-pekerja yang terjejas sehingga siasatan rasmi selesai dijalankan agar tidak timbul prasangka terhadap hasil siasatan itu,” katanya.

Dua orang mangsa dikenali sebagai Nasrifudin Najumudin, 26 dan Muhammad Asyraf Ahmad Buhari, 24 terkorban setelah dilanggar tren tersebut berdekatan Stesen MRT Pasir Ris.

Mereka adalah sebahagian daripada anggota pasukan yang sedang menyiasat kemungkinan berlakunya kerosakan melibatkan sistem isyarat di landasan.

Namun, pengendali pengangkutan awam itu mengakui bahawa kakitangan penyenggaraan tidak mematuhi prosedur-prosedur keselamatan ketika menjalankan tugas itu.

3. Keadaan Di Syria Tenang Selepas Gencatan Senjata

image
Kanak-kanak Syria gembira bermain ekoran gencatan senjata – Sumber: www.sinarharian.com.my

Pada Isnin lalu, konvoi bantuan kemanusiaan sedang menunggu kebenaran pihak berkuasa Syria untuk masuk ke negara itu selepas gencatan senjata mula dikuat kuasakan.

Ekoran itu, insiden keganasan telah menurun dengan ketara sekali dalam tempoh lebih daripada 24 jam selepas Amerika Syarikat dan Rusia berusaha untuk melaksanakan gencatan itu.

Ketenangan yang dikecapi Syria turut mendapat punjian daripada Wakil Khas PBB ke Syria, Staffan den Mistura.

“Situasi tenang kini dapat dilihat di seluruh Hama, Latakia, bandar dan luar bandar Aleppo serta Idlib. Ia adalah satu perkembangan positif yang mendadak tanpa sebarang insiden serangan udara,” katanya dalam satu sidang media di Geneva.

Sementara itu, Kumpulan Pemerhati Hak Asai Manusia Syria (SOHR) mengesahkan tiada laporan kematian dalam pertempuran di kawasan yang termasuk dalam gencatan senjata tersebut.

Bagaimanapun, perjanjian gencatan senjata itu tidak melibatkan kumpulan militan Daesh atau Jabhat Fateh al-Sham, sebelum ini dikenali Barisan al-Nusra yang menukar namanya selepas memutuskan hubungan dengan al-Qaeda pada Julai lalu.

4. 6 Cedera Akibat Gempa Bumi Di Korea Selatan

image-1
Keadaan berikutan gempa bumi itu – Sumber: www.sinarharian.com..my

Kira-kira enam orang tercedera berikutan gempa bumi berukuran 5.8 magnitud yang melanda bandar Gyeongju di Korea Selatan pada 12 September pada jam 8.32 malam waktu tempatan.

Memetik laporan Korea Times, Jabatan Metreologi Korea (MTA) berkata, gempa itu mencatatkan kekuatan paling tinggi pernah melanda negara itu sejak 1978.

Ia menjadi insiden kedua berturut-turut dalam masa 50 minit selepas  selepas gempa berskala 5.1 magnitud melanda bandar itu pada jam 7.44 malam.

Lebih membimbangkan lagi, rakyat di Kyushu, Jepun turut merasai gegaran itu.

Kerajaan Korea telah mengambil langkah keselamatan, di mana rakyat di Korea Selatan berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Memandangkan infrastruktur pembangunan di sana tidak dibina untuk menahan gempa bumi, pakar menyatakan bahawa jumlah kecederaan mungkin akan meningkat sekiranya gempa bumi melanda dengan gegaran 6 magnitud.

5. Pasangan Di China Hidup Di Dalam Gua Lebih 54 Tahun

image-2
Pasangan luar biasa – Sumber: www.sinarharian.com.my

Rumah adalah salah satu keperluan asas manusia dan juga impian setiap pasangan yang sudah berumah tangga, namun sepasang suami isteri di China lebih selesa untuk hidup di dalam gua.

Liang Zifu, 81, dan isterinya Li Suying, 77, memilih tinggal di dalam gua yang terletak di pinggir bandar Sinchuan Nanchong sejak 54 tahun lalu.

Mereka juga berjaya membesarkan empat orang anak walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Pada asalnya, mereka memutuskan untuk hidup di dalam gua kerana mengalami masalah kewangan dan tidak mampu untuk memiliki rumah sendiri.

Tetapi, walaupun telah dipujuk oleh pegawai tempatan untuk hidup di rumah yang lebih selesa selepas itu, mereka tetap menolak tawaran tersebut.

Gua berkenaan kini mempunyai tiga bilik tidur, satu dapur dan ruang tamu.

Menurut pasangan itu, mereka sudah terbiasa tinggal di dalam gua berkenaan kerana mempunyai banyak kelebihan.

“Ia sejuk ketika musim panas dan hangat pada musim sejuk malah ada mata air berdekatan,” ujar mereka.

Sumber: Sinar Harian

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close