AntarabangsaIsu Semasa

Bekas Tentera Yang Pernah Sertai Al-Qaeda Dedahkan Mengapa Beliau Tinggalkan Kumpulan Itu

Selepas berlakunya tragedi 11 September 2001 di Amerika Syarikat, seluruh dunia dikejutkan pula dengan fenomena pelbagai kumpulan pengganas yang kononnya berjuang atas nama agama Islam.

Daripada kumpulan Al-Qaeda sehinggalah IS, puak-puak pelampau ini sangat aktif dalam merekrut anggota-anggota baru tanpa mengambil kira bangsa, umur mahupun jantina.

Kumpulan ini akan mempengaruhi ‘mangsa-mangsa’ mereka dengan menaburkan pelbagai ‘janji manis’ sambil menceritakan seolah-olah ideologi mereka ini adalah berlandaskan syariat Islam.

Tetapi, segala tindakan mereka sedikit pun tidak mempunyai unsur-unsur ajaran sebenar Islam.

Dalam pada itu, seorang bekas anggota tentera Malaysia bernama Abdul Manaf Kasmuri menceritakan kisah silamnya, di mana beliau  pernah mengangkat sumpah setia terhadap kumpulan Al-Qaeda dan juga mengapa beliau akhirnya meninggalkan kumpulan tersebut.

Pada waktu itu, niat beliau menyertai kumpulan berkenaan adalah untuk membantu saudara Islam yang tertindas di kawasan-kawasan konflik di serata dunia.

Abdul Manaf telah berniat sedemikian sejak beliau dihantar ke Bosnia dalam satu misi pengaman pada awal tahun 1990-an.

Selepas kewujudan al-Qaeda, beliau menyangkakan bahawa kumpulan itu memang benar-benar hendak membela nasib orang-orang Islam yang telah ditindas, namun apa yang beliau lihat adalah sebaliknya.

Keganasan yang dilakukan oleh al-Qaeda telah membuka matanya bahawa segala tindakan dan ideologi kumpulan itu sebenarnya sangat menyimpang daripada ajaran sebenar Islam.

Oleh itu, Abdul Manaf kemudian bertindak menarik semula sokongannya lalu meninggalkan kumpulan tersebut.

“Dahulu, Jihad adalah satu perkara yang ‘bersih dan cantik’, jihad adalah mengenai membantu saudara Islam tanpa menggunakan keganasan.

“Mula-mula, mereka mendapat sokongan saya. Tetapi ideologi mereka telah berubah dan menjadi tidak betul,” kata beliau.

Namun pada bulan Februari 2003, beliau telah ditahan di bawah ‘Internal Security Act’ (ISA) kerana mempunyai kaitan dengan al-Qaeda dan juga sebuah lagi kumpulan militan bernama Jemaah Islamiyah (JI).

Beliau turut berkata, sesiapa sahaja yang membantah atau menentang puak-puak tersebut, ia adalah ‘halal’ bagi mereka untuk membunuh individu yang berbuat demikian.

Ideologi ekstrem ini sangat serupa dengan apa yang dibawa oleh kumpulan militan IS pada masa kini.

Kesimpulannya, setiap individu, terutamanya dari kalangan golongan muda harus mengambil iktibar daripada kisah ini.

Jika anda dipengaruhi dengan ‘janji-janji manis’ daripada kumpulan-kumpulan ini, sedarlah bahawa itu hanya taktik mereka untuk menarik anda menyertai ‘perjuangan’ yang sia-sia ini.

Jihad tidak membawa makna mengangkat senjata dan berperang semata-mata. Konsep ‘jihad’ dan ‘mati syahid’ yang dibawa oleh mereka secara terang-terangan bercanggah dengan ajaran Islam.

Sentiasa beringat bahawa agama Islam atau mana-mana agama sekali pun di muka bumi ini tidak pernah mengajar penganutnya untuk melakukan keganasan.

 

Sumber: The Star

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button