Isu SemasaTempatan

Ke Mana Hilangya Budi Bahasa Kita?

Negara Malaysia dikenali dengan kesopanan, budi bahasa dan juga variasi kaum yang hidup di bawah satu bumbung dalam keadaan aman dan harmoni.

Sejak zaman kemerdekaan lagi, masyarakat pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan sebagainya telah hidup bagai aur dengan tebing, lalu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik dan dihormati oleh seluruh dunia.

1malaysia_M_140702-1
Masyarakat berbilang kaum di Malaysia – Sumber: konsepnilaidanperpaduanrakyatmalaysia.blogspot.com

Menurut kebanyakan orang dari luar negara, rakyat Malaysia adalah golongan yang suka membantu, bersopan-santun serta menerima kedatangan masyarakat luar dengan hati yang terbuka.

Tetapi, zaman sekarang telah berubah 360 darjah apabila budaya yang mulia ini semakin hari semakin luntur ditenggelami era modenisasi.

Sikap segelintir rakyat Malaysia, tidak kira kaum, umur atau jantina telah mencalarkan imej keseluruhan masyarakat serta negara dengan mempamerkan bersikap biadab, mementingkan diri dan tidak hirau akan keadaan sekeliling.

photo_2015-01-03_00-41-33
Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.fitnahsabah.com

Bak kata pepatah, “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Itulah peribahasa yang tepat untuk menggambarkan keadaan kita sekarang.

Antara kes yang sering kita dengar adalah pelajar melawan guru, pemandu teksi biadab dengan pelancong luar, orang normal letak kereta di ruang OKU dan macam-macam lagi.

OKU amended
Antara kejadian letak kereta di tempat OKU – Sumber: kongsilebuhraya.blogspot.com

Tetapi, kejadian yang paling menyedihkan adalah apabila golongan dewasa yang dianggap sebagai ‘otai’ atau ‘orang lama’ menunjukkan sikap biadab terhadap orang lain hanya kerana merasakan bahawa mereka ini adalah ‘senior’ dalam kalangan masyarakat.

Perkongsian satu kejadian yang pernah berlaku dihadapan seorang rakan karib yang hendak dikenali sebagai Rahmat (bukan nama sebenar).

Pada suatu hari, Rahmat sedang beratur untuk mengambil makanan di sebuah gerai berdekatan rumahnya.

Ketika sedang beratur, dia ternampak seorang ‘pak cik’ yang hendak membuat bayaran di kaunter.

“Semuanya RM 7  pak cik,” kata anak muda yang menjaga kaunter.

Pakcik itu dengan muka yang agak masam kemudian menghulur RM 100 kepada penjaga kaunter itu.

“Saya mintak maaf pak cik, kami kehabisan duit kecik,” balas penjaga kaunter itu.

Secara tiba-tiba, pak cik itu dengan nada yang marah berkata pada anak muda itu, “Kalau tak ada duit kecik, tak payah berniaga lah!”.

Semua orang terdiam dan hanya melihat ‘drama’ yang sedang berlaku.

Nampak ketakutan di wajah anak muda itu, tetapi dia tetap tenang dan meminta maaf kepada pak cik tersebut dan terus pergi ke gerai lain untuk menukar duit kecil.

Setelah berjaya pulang dengan duit kecil, anak muda itu pun memberi pak cik itu bakinya.

“Ini bakinya pakcik, saya mintak maaf sekali lagi,” katanya. 

Pak cik itu kemudian membalas, “Mintak maaf mintak maaf, pandai kau menjawab ya!” . 

“Kau tu orang muda, belajar sikit hormat orang tua!”, katanya itu lalu meninggalkan gerai.

Tindakan pak cik tersebut pada waktu itu sangat tidak berasas dan biadab. Lagi mengecewakan, pak cik itu masih tidak berdiam diri walaupun anak muda itu telah meminta maaf berkali-kali.

Memang tidak dinafikan bahawa ramai dikalangan golongan muda pada zaman ini yang memang ‘kurang ajar’.

Tetapi, bagaimana pula jika sikap negatif ini datang daripada ‘otai-otai’ itu sendiri?

Kalau diikutkan, mereka ini adalah golongan yang sepatutnya menjadi contoh atau ‘role model’ kepada anak-anak muda agar sentiasa berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, pangkat dan jantina.

01 - budi_bahasa_budaya_kita

Dalam konteks ini, pihak kerajaan harus dipuji kerana telah bertungkus-lumus berkempen dalam program  “Budi Bahasa, Budaya Kita”. 

Tetapi, adakah kita sebagai masyarakat benar-benar mempraktikkan slogan tersebut? Jangan marah pula kalau orang luar kata kita ini “cakap tak serupa bikin”.

Pengajaran yang boleh diambil dari kisah itu adalah setiap orang harus saling hormat-menghormati di antara satu sama lain tanpa mengira kaum, usia, pangkat dan jantina.

Lagi satu, jangan sesekali membesar-besarkan sesuatu perkara itu. Hanya kerana tiada duit kecil, pak cik itu telah menghina penjaga kaunter dan menjatuhkan air mukanya tanpa sebarang sebab yang munasabah.

08-05-14_Showbiz01_Shaw
“Bahasa menunjukkan Bangsa”, kata Ramlee kepada Sudin.

Yang muda hormat yang tua, yang tua hormat yang muda.

“Bahasa menunjukkan bangsa”, begitulah kata-kata yang dikeluarkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee di dalam filemnya berjudul Seniman Bujang Lapok.

Akhir kata, setiap insan mempunyai maruah serta perasaan dan layak menerima penghormatan yang sewajarnya dengan adil dan saksama.

Kita sebagai rakyat Malaysia harus sentiasa berbudi bahasa agar dihormati dan dipandang mulia oleh semua pihak terutamanya masyarakat luar negara.

Show More

Related Articles

Back to top button