Bisnes & EkonomiIsu SemasaTempatan

Intipati Rancangan Malaysia Ke-11 Secara Ringkas

Rancangan Malaysia merupakan rancangan yang diperkenalkan untuk pembangunan kerajaan Malaysia bagi tempoh setiap 5 tahun, kesan daripada peninggalan British di Tanah Melayu selepas tamat Perang Dunia Kedua.

Ianya bermula dengan Rancangan Malaya Pertama yang diperkenalkan pada tahun 1956 hingga 1960 diikuti dengan Rancangan Malaya Kedua (1961-1965).

Setelah Malaysia ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1963, rancangan pembangunan tersebut telah dinamakan semula kepada Rancangan Malaysia (RM), bermula dengan rancangan pertamanya bergelar Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970).

Lebih daripada 5 dekad, setiap rancangan ini telah berjaya meningkatkan taraf keadaan negara kita dari semua aspek.

Rajah di bawah menunjukkan kronologi setiap rancangan pembangunan kerajaan yang telah dilaksanakan.

13838197_304014786603462_1463639233_o

Rancangan pembangunan kerajaan terkini adalah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang akan dilaksanakan bagi tahun 2016-2020.

Bertemakan “Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat”, RMK-11 merupakan rancangan yang penting dan kritikal dalam sejarah Malaysia memandangkan kita hanya mempunyai 5 tahun sahaja lagi untuk merealisasikan Wawasan 2020 dalam menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi.

Dilancarkan pada tahun 1991, Wawasan 2020 menggariskan hala tuju Malaysia untuk menjadi negara maju dalam semua sudut iaitu politik, ekonomi, sosial, kerohanian, psikologi, dan juga budaya menjelang tahun 2020.

RMK-11 mengandungi enam teras strategik untuk mencapai objektif Wawasan 2020.

ENAM TERAS STRATEGIK RMK-11

  1. Memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama
  2. Meningkatkan kesejahteraan rakyat
  3. Meningkatkan pembangunan modal insan untuk negara maju
  4. Menuju ke arah pertumbuhan hijau bagi meningkatkan kemampanan dan daya tahan
  5. Memperkukuh infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi
  6. Merekayasa pertumbuhan ekonomi untuk peningkatan kemakmuran

Berlandaskan Strategi Pembangunan Nasional Malaysia (MyNDS), rancangan ini juga memberi fokus terhadap ekonomi berteraskan rakyat dan juga ekonomi berasaskan modal.

Ekonomi berasaskan rakyat memberi fokus terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat, di mana mereka menjadi keutamaan dan juga tunjang dalam pembangunan negara.

Kepentingan rakyat ini termasuk peluang pekerjaan, perniagaan kecil, kos sara hidup, kesejahteraan keluarga dan juga penyertaan masyarakat.

Ekonomi berasaskan modal pula merangkumi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), perniagaan besar, projek pelaburan besar, dan juga pasaran kewangan.

Strategi ini merangkumi pelaksanaan program dan projek yang berimpak tinggi yang boleh direalisasikan dengan cepat serta dikenakan kos yang rendah kepada kerajaan.

Selain itu, rancangan ini juga berteraskan konsep ‘Bangsa Malaysia’ yang progresif dan bersatu dalam usaha meningkatkan lagi kemakmuran negara untuk perpaduan rakyat Malaysia.

Yang paling penting sekali, RMK-11 ini akan menjadi penentu perjalanan pembangunan masa hadapan Malaysia agar rakyat dapat menikmati hasil pembangunan yang sewajarnya.

Akhir sekali, tema “Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat” ini juga merupakan satu strategi yang melambangkan komitmen kerajaan untuk memenuhi aspirasi rakyat.

Semoga Malaysia dapat mencapai status negara maju selaras dengan matlamat Wawasan 2020 melalui segala pelan yang termaktub dalam RMK-11 ini.

Sumber: http://rmk11.epu.gov.my/book/bm/Rancangan-Malaysia-Kesebelas/index.html

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button