AntarabangsaIsu Semasa

Pendidikan “Senjata” Terbaik Untuk Membanteras Keganasan

Sejak kebelakangan ini, gejala keganasan atau terorisme semakin menjadi-jadi dengan pelbagai insiden serangan di seluruh pelusuk dunia yang dilakukan oleh puak pengganas seperti ISIS.

Dari pengeboman, penculikan, penyembelihan, penindasan dan sebagainya, kumpulan pengganas ini ternyata telah berjaya menakutkan penduduk dunia dengan segala tindak tanduk mereka itu.

Kononnya berjuang atas dasar ‘berjihad menegakkan agama Islam’, kumpulan ini telah berjaya merekrut ramai anggota dari kalangan golongan muda yang masih mencari identiti diri mereka.

Ini adalah kerana golongan ini masih tidak matang pemikirannya dan sangat mudah untuk terpengaruh dengan ‘ayat-ayat manis’ serta ideologi bersifat ekstremisme yang kononnya berlandaskan ajaran Islam.

Setakat ini, pelbagai inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan dari serata dunia dalam usaha menghapuskan gejala ini daripada berterusan. Sebagai contoh, Amerika Syarikat telah melancarkan serangan balas di beberapa tempat untuk ‘menghapuskan’ puak pelampau ini.

Persoalannya, adakah wajar jika keganasan dibalas dengan keganasan? Apakah cara yang paling efektif untuk membanteras gejala ini?

Di Syria, kuasa-kuasa besar telah membantu kerajaannya dengan menggunakan senjata-senjata canggih untuk menentang puak-puak pengganas ini, namun ianya tidak berkesan.

Malah, kumpulan ini semakin berkembang apabila mereka berjaya mempengaruhi dan merekrut lagi ramai anggota melalui dakyah-dakyah songsang mereka.

Semakin ramai juga mangsa-mangsa yang tidak berdosa terutamanya kanak-kanak, wanita dan golongan tua yang terkorban akibat ‘serangan balas’ yang tersasar.

Oleh itu, “mencegah lebih baik daripada mengubati”.  Dalam konteks ini, pendidikan adalah cara yang paling efektif untuk membanteras gejala ini.

Kerajaan harus memperkenalkan pengajian khusus mengenai bahayanya pengaruh dan ideologi songsang golongan pelampau agama ini terhadap manusia sejagat di setiap peringkat (rendah, menengah, dan universiti).

Pendidikan Agama dan Moral harus menitik beratkan bahawa tiada satu pun agama di dunia ini, termasuk agama Islam yang mempelopori ekstremisme dan keganasan.

Al-Quran adalah satu kitab yang menekankan keadilan, kesaksamaan dan kedamaian manusia sejagat. Islam bukan hanya sekadar satu agama, tetapi ianya adalah cara hidup yang merangkumi semua aspek dan ciri-ciri kehidupan yang sempurna.

Tenaga pengajar harus mendidik anak-anak bangsa untuk memahami intipati Al-Quran yang sebenar agar mereka tidak tersalah tafsir dan terpengaruh dengan ideologi ekstremisme seperti yang dipamerkan oleh kumpulan pengganas.

Unsur-unsur kemanusiaan, keikhlasan, toleransi dan kesyukuran adalah menjadi asas ajaran agama Islam itu sendiri.

Selain itu, masyarakat harus dimaklumkan tentang erti keganasan yang sebenarnya. Keganasan tidak mewakili mana-mana agama sekalipun kerana tiada agama yang mengajar penganutnya untuk melakukan keganasan.

Segala perilaku keganasan ini dilakukan oleh individu-individu yang hendak mencapai sesuatu matlamat untuk kepentingan peribadi dan mereka hanya menggunakan sentimen agama sebagai ‘modal’ untuk meraih sokongan dan menambah ahli di dalam kumpulannya.

Kesimpulannya, pendidikan adalah senjata yang terbaik untuk menghapuskan keganasan. Ia mampu mengajar manusia untuk berfikir secara rasional serta tahu untuk menilai perkara yang baik dan buruk.

Bak kata pepatah, “kata-kata itu lebih tajam daripada pedang”. Adalah lebih baik jika kita menentang keganasan dengan mendidik anak bangsa untuk memahami erti sebenar keganasan agar tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang cuba untuk memperdayakan mereka.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button