Isu SemasaTempatan

Kemudahan Asas Dan Kebajikan OKU Perlu Diperbaiki

Seperti yang kita tahu, orang kurang upaya (OKU) merupakan golongan manusia yang tidak  sempurna keadaan mental atau fizikalnya. Kekurangan ini boleh dilihat dari pelbagai aspek seperti penglihatan, pendengaran, pergerakan, pemikiran dan sebagainya.

Keadaan mereka yang sebegini juga menjadi satu beban untuk mereka menjalani kehidupan seharian secara normal.

Walaubagaimanapun, kekurangan dari segi prasarana dan kemudahan asas untuk membantu golongan OKU ini amat ketara di beberapa kawasan utama di negara kita.

Memang tidak dinafikan bahawa pelbagai kemudahan telah disediakan oleh pihak kerajaan, tetapi ia masih tidak mencukupi dan memerlukan peningkatan kerana ramai dari kalangan OKU yang mengadu akan kesukaran mereka untuk melaksanakan urusan harian.

Dalam arti kata lain, kemudahan-kemudahan awam yang sedia ada di kebanyakan tempat tidak mesra OKU.

Kemudahan-kemudahan asas yang sedia ada menampakkan kekurangan dari aspek keselamatan dan kesesuaian. Peningkatan dari aspek teknologi perlu dipertekankan dalam memperbaiki dan menambah kemudahan-kemudahan untuk membantu pergerakan golongan OKU ini.

Antara masalah yang sering menjadi aduan golongan OKU adalah kesusahan mereka untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain dalam menjalankan urusan harian seperti ke sekolah, bank, tempat kerja dan sebagainya.

Lorong-lorong khas pejalan kaki untuk OKU amat berkurangan sekali dan ini membawa risiko yang tinggi terutamanya terhadap mereka yang cacat penglihatan dan cacat anggota badan.

Kenderaan-kenderaan awam seperti kereta api dan bas tidak mempunyai kemudahan yang khusus untuk memudahkan golongan ini menaiki dan menuruni pengangkutan-pengangkutan itu.

Penekanan kepada aspek keselamatan amat berkurangan di kalangan operator-operator kenderaan awam untuk membantu golongan ini. Kerajaan pusat dan kerajaan negeri melalui majlis-majlis tempatan hendaklah sentiasa prihatin dengan segala masalah serta risiko yang dihadapi oleh golongan OKU.

Perancangan, penyelidikan khusus, serta belanjawan yang mencukupi hendaklah diagihkan sangat  diperlukan dalam usaha mempertingkatkan kemudahan-kemudahan untuk mereka.

Badan-badan bukan kerajaan juga boleh memainkan peranan mereka dalam memperjuangkan nasib golongan ini. Malahan, melalui aktiviti-aktiviti khusus seperti mengumpul dana serta membiayai operasi dan penyelenggaraan (operation and maintenance) kemudahan-kemudahan yang sedia ada boleh membawa sinar baru terhadap kebajikan golongan ini.

Dalam pada itu, kerajaan juga harus menyediakan lebih program kesedaran untuk mendidik setiap lapisan masyarakat akan keperluan membantu golongan yang kurang bernasib baik ini.

Setiap pihak terutamanya kerajaan dan masyarakat harus sama-sama berganding bahu dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga OKU.

Mereka juga adalah manusia dan sebahagian daripada masyarakat yang mempunyai maruah, perasaan, kelebihan, bakat dan juga kepintaran seperti manusia-manusia normal yang lain.

Oleh itu, kita sebagai golongan manusia yang dianugerahkan kesempurnaan mental dan fizikal hendaklah menghargai dan menghormati golongan OKU ini agar mereka tidak rasa tersisih dan terhina sebagai anggota masyarakat.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close