Gaya HidupKesihatan

Tanggungjawab Dalam Menjaga Pesakit Terlantar

Pesakit terlantar adalah antara pesakit yang mempunyai risiko paling tinggi untuk mendapat komplikasi-komplikasi seperti darah beku pada salur darah di kaki (deep vein thrombosis), salur darah paru-paru tersumbat (pulmonary embolism), luka-luka badan (pressure sores), sendi keras dan mengerekot (joint contractures), jangkitan kuman pada paru-paru (pneumonia), dan banyak lagi.

Oleh itu, sebagai penjaga utama ataupun ahli keluarga kepada pesakit itu sendiri, haruslah bekerjasama dan memberi komitmen 100% dalam tugas penjagaan bagi mengurangkan sebarang risiko yang tidak diingini daripada berlaku.

Sebagai penjaga utama (primary caregiver) dan ahli keluarga pesakit, terdapat beberapa perkara yang anda perlu tahu dan pelajari bagi menjaga pesakit dan untuk membuat mereka rasa lebih selesa sepanjang tempoh terlantar.

  1. Sentiasa ingat untuk ubah posisi pesakit sekurang-kurangnya 2 jam sekali

Picture1

Kita sebagai orang yang sihat tetap akan rasa lenguh dengan hanya sekadar duduk selama berjam-jam lamanya. Begitu jugalah apa yang orang terlantar rasakan jika tidak dialih posisi mereka. Langkah ini adalah bagi mengelak daripada berlaku pressure sores di belakang, punggung, tumit, buku lali, pinggul, siku, bahu, belakang kepala, cuping telinga dan mana-mana bahagian badan yang tertekan untuk jangka masa lama.

  1. Jangan lupa untuk mandikan pesakit sekurang-kurangnya sekali sehari

Sage-7970_patient-nurse_CB-sm

Dengan mandian ini bukan sahaja untuk membersihkan dan menyegarkan pesakit, tetapi sekaligus untuk menceriakannya juga. Jika pesakit masih boleh bergerak atau ada bantuan yang cukup, mandikannya di bilik air. Jika tidak, anda boleh mandikannya di atas katil dengan menggunakan tuala atau span basah (sponge bath). Gunakan air yang suam. Ketika memandikan pesakit, periksa badan pesakit untuk sebarang luka atau apa-apa masalah lain.

  1. Jaga kebersihan mulut pesakit sekurang-kurangnya sekali sehari

bathing-and-dressing-techniques-for-the-caregiver

Ini penting bagi mengelak daripada berlaku jangkitan kuman di dalam mulut pesakit. Berus gigi dan bersihkan lelangit, bahagian dalam pipi dan lidah pesakit dengan menggunakan tuala kecil yang bersih.

  1. Sentiasa tukar pakaian dan alas pesakit setiap hari

occupational-therapist-dressing-patient

Ini sangat penting kerana, pakaian dan alas pesakit akan dikotori oleh kulit mati, cecair tubuh, najis, dan sisa makanan dan ini boleh menjadi tempat pembiakan kuman. Untuk memudahkan tugas pembersihan, lapik tilam dengan alas plastik, kemudian cadar, dan kemudian satu lagi alas kain sebelum membaringkan pesakit. Alas kain itu boleh kerap ditukar dan digunakan juga untuk membantu memposisikan pesakit. Selain itu, lampin pesakit perlulah ditukar dengan kerap.

  1. Gerakkan sendi-sendi pesakit sekurang-kurangnya 3 kali sehari

bh_20150202_sgh2_1479877

Ini bagi mengelakkan sendi daripada menjadi keras dan mengerekot (joint contractures). Apa yang anda perlu buat adalah, dengan bermula dari bahagian bawah badan pesakit, gerakkan pergelangan kaki, lutut, pinggul, jari-jemari, pergelangan tangan, siku dan bahu untuk. Seterusnya, sudahkan dengan urutan yang lembut untuk melancarkan peredaran darah pesakit.

  1. Dudukkan pesakit ketika makan atau minum

spoons-program

Ini bagi mengelakkan pesakit tersedak yang boleh menyebabkan makanan atau minuman masuk ke dalam paru-paru dan seterusnya menyebabkan jangkitan kuman. Dudukkan pesakit ketika makan atau minum dan sekali lagi sekurang-kurangnya setengah jam selepas itu.

  1. Dapatkan peralatan seperti ripple mattress, doughnut pillow, dan TED stockings

 

Ripple-Mattress-PM-100A

Jika anda mampu, alat-alat ini boleh didapatkan di farmasi. Ianya bagus bagi membantu mengelakkan berlaku pressure sores dan darah beku pada kaki pesakit. Walau bagaimanapun, alat-alat ini bukanlah pengganti bagi rutin mengubah posisi dan menggerakkan sendi pesakit yang kami katakan di atas.

  1. Bersembang dengan pesakit

Patient with wife in hospital

Ini dapat merangsang otak pesakit dan bagi pesakit yang sedar, ia dapat mengurangkan kebosanan dan tekanan jiwa pada pesakit.

  1. Simpan rekod perubatan pesakit

DSC02382

Sebagai penjaga, anda perlu tulis di dalam satu buku nota diagnosis tentang senarai ubat beserta dos, prosedur yang pernah dilakukan pada pesakit, dan masalah-masalah lain. Kemaskini setiap kali masuk hospital atau jumpa doktor. (Boleh minta tolong doktor tuliskan diagnosis.) Catitkan juga kebiasaan-kebiasaan pesakit seperti kekerapan buang air besar, warna najis, dan kuantiti makanan atau susu yang diambil pesakit. Beri buku tersebut pada penjaga seterusnya jika berganti.

 

  1. Jangan sesekali segan untuk minta bantuan!

image

Ya, tugas seorang penjaga utama dan ahli keluarga kepada pesakit bukanlah satu perkara yang mudah. Oleh itu, anda tidak perlu segan untuk meminta bantuan daripada ahli keluarga lain mahupun rakan anda (tidak kira dari segi keewangan atau tenaga).

Bagi ahli-ahli keluarga lain yang tidak menjadi penjaga utama atas apa jua sebab, tanggungjawab anda termasuklah:

  • Berusaha untuk mengambil alih tugas penjaga utama walaupun sekejap. 2 atau 3 bulan sekali, ambil alih selama 1 atau 2 minggu sekurang-kurangnya untuk memberi penjaga utama itu rehat yang mereka perlukan. Ambil cuti jika bekerja.
  • Berilah bantu dari sudut kewangan jika tidak mampu menjaga. Lampin, susu, peralatan perubatan, sewa ambulans, bayaran jururawat swasta, bayaran pembantu rumah, semuanya memerlukan wang. Perlu juga ingat penjaga utama selalunya tidak dapat bekerja.
  • Fahami kesusahan penjaga utama. Dengar luahan hati mereka dan jangan mengkritik atau menyindir cara jagaan mereka. Tolong mereka dapatkan bantuan jika anda sendiri tidak mampu membantu.

Sebagai penggulungan, ingatlah, menjaga ahli keluarga atau kenalan rapat yang terlantar adalah satu tanggungjawab dan amanah yang tinggi untuk dipikul. Lakukanlah semuanya dengan hati yang terbuka dan ikhlas dan semuanya akan dipermudahkan, InsyaAllah.

Sumber: http://www.mmgazette.com

Show More

Related Articles

Back to top button