Bisnes & EkonomiIsu SemasaTempatan

Fahami Kerangka Asas Ekonomi Dalam Isu ‘Duit Rakyat’ – Syed Atif

“Gaji penjawat awam adalah hasil duit rakyat, duit kerajaan adalah duit rakyat.” Berikut adalah kenyataan-kenyataan yang sering kali diperkatakan oleh sesetengah rakyat Malaysia.

Seperti yang difahamkan, Ahli Parlimen Langkawi, Dato Ir. Nawawi Ahmad pada bulan lepas telah memberikan ulasannya dalam perdebatan berkenaan cukai atau ‘isu duit rakyat’.

Beliau menekankan bahawa gaji wakil rakyat tidak dibayar oleh rakyat, tetapi dibayar oleh kerajaan.

Perkara ini tercetus selepas beliau membuat satu catatan di media sosial berkenaan pendidikan dan penjagaan kesihatan secara percuma yang diamalkan di negara Denmark, di mana rakyat mereka harus membayar cukai pendapatan yang tinggi sebanyak 40 peratus dan 25 peratus cukai jualan.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi dikalangan netizen, di mana mereka mengingatkan beliau bahawa gajinya sebagai wakil rakyat (penjawat awam) ‘dibayar’ oleh rakyat melalui pembayaran cukai.

Walaubagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO Perlis, Syed Atif tampil mempertahankan sekaligus menjelaskan mesej yang hendak disampaikan oleh Nawawi.

“Syabas kepada Ahli Parlimen Langkawi, YB Datuk Ir. Nawawi Ahmad, kerana mengetengahkan suatu isu penting yang tentunya dapat membina kefahaman rakyat, khususnya orang-orang muda, berkenaan batas-batas pertikaian terhadap pentadbiran kerajaan,” katanya.

Ujar beliau lagi, wang kerajaan dan wang rakyat merupakan satu entiti yang berasingan.

“YB Ir. Nawawi telah merumuskan secara tepat dan tajam bahawa gaji wakil rakyat dibayar dengan wang kerajaan; bukan wang rakyat.

“Apa yang perlu difahami, wakil rakyat dipilih oleh rakyat di sesebuah kawasan sebagai wakil mereka dalam kerajaan; dan kerajaan membayar gaji mereka,” kata Syed Atif.

Argumen bahawa duit kerajaan adalah duit rakyat semata-mata bersandar kepada sumber kewangan kerajaan yang sebahagiannya datang daripada bayaran cukai dan kutipan wang daripada rakyat.

“Sekiranya argumen seperti ini dijadikan pegangan, bermakna wang kutipan oleh peniaga-peniaga runcit di pasar, supermarket dan kedai tayar juga merupakan duit rakyat; kerana wang tersebut dikutip daripada poket rakyat,” ujar beliau lagi.

Syed Atif turut berkata, rakyat membayar wang kepada peniaga-peniaga runcit dan mendapat barangan.

Dari aspek lain, rakyat membayar wang kepada kerajaan dan memperolehi pelbagai perkhidmatan dan kemudahan sebagai imbalan.

“Ini kerangka asas ekonomi dan kenegaraan yang sedia difahami oleh rakyat terbanyak, kecuali sekelompok rakyat yang sengaja cuba mencipta kekeliruan,” katanya.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/isu-duit-rakyat-fahami-kerangka-asas-ekonomi-syed-atif-107639

 

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close