Gaya HidupKesihatan

Fikir Dahulu Sebelum Menggunakan Pengering Tangan Di Tandas Awam

Walaupun orang sebelum anda sudah pun membersihkan tangannya, jangan sangka yang anda tidak akan mendapat kuman darinya.

Ini kerana, menurut satu kajian baharu dalam Jurnal Mikrobiologi, jika seseorang itu telah mengeringkan tangannya menggunakan mesin pengering tangan atau ‘jet hand dryer’, kemungkinan besar dia telah menyebarkan kuman yang menyebabkan pelbagai penyakit ke seluruh tandas itu.

Para penyelidik mendapati bahawa mesin pengering tangan itu telah merebakkan 50 kali lebih banyak virus ke udara, dan 100 kali ganda lebih banyak virus daripada mengeringkan tangan dengan tisu biasa.

Malah, ia dapat merebakkan virus dengan lebih jauh, dan beberapa kuman telah pun dikesan berada hampir 10 kaki daripada pengering itu sendiri.

Pengering tangan jet ini menghasilkan kelajuan udara lebih daripada 370 batu sejam, kata penulis kajian Patrick Kimmitt, Ph.D. Kelajuan di mana pengering ini meniup udara panas — dan dari arah atas dan sisi yang mereka sering halakan — menunjukkan mengapa banyak kuman dapat disebarkan dengan mudah setakat ini.

Ini tidak akan menjadi satu masalah jika orang ramai telah mencuci tangan mereka dengan betul, kerana teknik yang betul akan menghapuskan kuman yang ada dari tangan mereka sebelum mereka pergi mengeringkannya.

Tetapi malangnya, menurut penyelidikan daripada University of Arizona, sebanyak 85 peratus daripada populasi manusia tidak mencuci tangan mereka dengan betul.

Dan itu juga boleh menimbulkan beberapa risiko kesihatan yang serius, kerana pengering tangan jet itu akan menghantar kuman terbang merentasi ke seluruh tandas, kemudian menyebabkan ia mendarat di sesuatu permukaan seperti sinki dan pintu.

Seterusnya apabila anda menyentuh permukaan itu, anda kemudiannya akan memindahkan kuman-kuman itu ke badan anda sendiri.

Dan sekiranya itu berlaku, risiko untuk anda menghidap penyakit yang paling biasa yang disebarkan oleh kuman yang boleh dijumpai di dalam tandas awam seperti penyakit pernafasan, jangkitan mata, dan cirit-birit, adalah lebih tinggi kata Charles P. Gerba Ph.D., seorang profesor mikrobiologi dan Pengkaji alam sekitar di Universiti Arizona.

Langkah-langkah yang perlu anda ambil adalah:

Basuh tangan anda betul-betul selepas menggunakan tandas — ini akan memastikan yang anda benar-benar telah menghapuskan sebarang kuman yang mungkin telah anda ambil sebelum menyelesaikan ‘hajat’ anda.

Kemudian, setelah anda membersihkan diri anda, elak daripada menyentuh mana-mana permukaan yang mungkin mempunyai kuman.

Jika boleh buka pintu dengan menggunakan lengan atau siku anda untuk mengelakkan daripada pintu atau mana-mana permukaan lain bersentuh dengan tangan anda.

Kemudian gunakan sanitizer tangan dalam perjalanan keluar untuk menghapuskan kuman sesat yang anda mungkin terambil semasa berada di sana.

Dan akhir sekali, sekiranya anda mahu mengeringkan tangan anda, ianya adalah lebih baik untuk menggunakan tisu, kerana ia akan memastikan bahawa anda tidak akan menyebarkan kuman anda sendiri kepada orang lain.

Sumber: http://www.menshealth.com/health/jet-air-dryers-make-public-restrooms-gross

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker