Sukan

Kuantan jadi venue Trofi Juara-Juara Asia

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, akan tetap menganjurkan Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan walaupun mengakui jumlah penonton di venue itu tidak setanding di Ipoh dan Johor Bahru.

KHM menganggap Kuantan merupakan ibu negeri yang paling bersedia menganjurkan Trofi Juara-Juara Asia, Oktober depan.

Ini memandangkan Johor Bahru sedang membuat persiapan untuk Piala Sultan Johor, November depan manakala Ipoh masih segar dengan kemeriahan Piala Sultan Azlan Shah.

Ditambah pula dengan kesediaan Persatuan Hoki Pahang memikul tugas itu, maka KHM meletakkan negeri itu sebagai pilihan utama.

“Oktober sudah tidak jauh lagi, Melaka dan Terengganu merupakan venue yang bagus, tetapi mereka tidak bersedia untuk menjadi tuan rumah kejohanan ini,” kata Subahan.

Minggu lalu, Persekutuan Hoki Asia (AHF) telah memilih Malaysia sebagai tuan rumah Trofi Juara-Juara Asia, namun belum menghantar surat tawaran rasmi.

Ia akan menjadi kejohanan terbesar buat The Malaysian Hockey Tigers tahun ini kerana turut menawarkan mata ranking dunia.

Bagi mengelak konflik pemilihan venue, KHM bercadang membuat sistem bidaan untuk ahli gabungan menganjurkan kejohanan tempatan dan antarabangsa.

“Kami akan mengadakan perbincangan secara terbuka untuk memilih negeri mana yang mahu dan bersedia untuk menganjurkan sebarang kejohanan hoki pada masa akan datang,” jelas Subahan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Baca Juga

Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker