PolitikTempatan

Mengapa Pilihan Raya Kecil Diadakan?

Di Malaysia, pilihan raya terbahagi kepada dua kategori iaitu pilihan raya umum dan juga pilihan raya kecil.

Screen Shot 2016-05-20 at 4.00.44 PM
Episod Sistem Pilihan Raya – Toodia Dot My

Pilihan raya umum adalah satu proses demokrasi yang diadakan bagi memilih wakil rakyat di Parlimen dan pembentukan kerajaan setiap 5 tahun sekali, di mana rakyat mempunyai kuasa untuk menjadi penentu kepada kedua-dua perkara tersebut. Ini berlaku apabila Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan atau terbubar sendiri selepas tempoh 5 tahun itu tamat.

Tetapi, bagaimana pula dengan pilihan raya kecil? Untuk apa ia diadakan?

Screen Shot 2016-05-20 at 3.59.00 PM
Episod Sistem Pilihan Raya – Toodia Dot My

Pilihan raya kecil hanya akan dilaksanakan bagi meingisi kekosongan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya berlaku beberapa perkara luar jangkaan seperti berikut:

  1. Kematian
  2. Perletakan jawatan
  3. Hilang kelayakan
  4. Pembatalan keputusan pilihan raya oleh Mahkamah Pilihan Raya

Jika berlaku mana-mana daripada perkara di atas, maka pilihan raya kecil harus diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan itu.

noriah-kasnon-Wan-Mohammad-Khair-il.jpg
Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il dan Datuk Noriah Kasnon – Sumber: malaysiastylonews.com

Berikutan pemergian Allahyarham Datuk Noriah Kasnon, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komiditi, serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad dalam tragedi nahas helikopter baru-baru ini, satu pilihan raya kecil (PRK) bakal berlangsung secara serentak pada 18 Jun ini bagi mencari pengganti mereka untuk Parlimen Kuala Kangsar (P.067) , Perak serta Sungai Besar (P.093), Selangor.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, sesi penamaan calon akan diadakan pada 5 Jun, manakala pengundian awal pula pada 14 Jun.

image
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) – Sumber: www.sinarharian.com.my

Untuk PRK 2016 ini, kawasan Parlimen Kuala Kangsar mempunyai 32,949 pemilih berdaftar, di mana seramai 32,632 adalah pengundi biasa, 312 orang pengundi awal manakala 5 orang pemilih yang tidak hadir kerana berada di luar negara.

Parlimen Sungai Besar pula mengandungi 42,655 pemilih berdaftar dengan 42,365 pengundi biasa, 286 orang pengundi awal, dan 4 orang pemilih tidak hadir kerana berada di luar negara.

“Daftar pemilih pilihan raya bagi kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan akan mula dijual pada 2 Jun, manakala anggaran belanjawan yang diperlukan bagi mengendalikan kedua-dua PRK ini adalah sebanyak RM2.7 juta,” kata Mohd. Hashim.

Dalam pada itu, Allahyarham Datuk Noriah telah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar, apabila berjaya menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M Hussin dengan majoriti 399 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dahulu.

keputusan-pru-13
Gambar sekadar hiasan – Sumber: www.melvister.com

Bagi Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il pula, beliau memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar setelah mengalahkan Khalil Idham Lim Abdullah dari PAS serta calon parti Bebas, Datuk Kamilia Ibrahim dengan majoriti 1,082 undi.

Untuk pengetahuan anda, Pilihan Raya Kecil (PRK) 2016 Kuala Kangsar dan Sungai Besar kali ini merupakan PRK yang ke-11 selepas berlangsungnya PRU13 pada 5 Mei 2013.

Berikut adalah sepuluh PRK yang pernah dijalankan sebelum ini:

  1. PRK DUN Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013)
  2. PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 November 2013)
  3. PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014)
  4. PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014)
  5. PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014)
  6. PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2014)
  7. PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 September 2014)
  8. PRK DUN Chempaka, Kelantan (22 Mac 2015)
  9. PRK Parlimen Rompin, Pahang (5 Mei 2015)
  10. PRK Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang (7 Mei 2015)

Selain itu, lokasi bagi pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi bagi PRK Kuala Kangsar akan bertempat di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, manakala untuk PRK Sungai Besar, Dewan Seri Bernam menjadi tempat pilihan.

Memandangkan kedua-dua PRK ini akan dijalankan pada bulan Ramadan, ia bukanlah kali pertama kerana terdapat juga beberapa PRK sebelum ini yang diadakan pada bulan yang mulia ini.

“Sudah beberapa kali dalam sejarah PRK diadakan pada bulan puasa dan yang terbaharu di Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013). Bulan puasa adalah bulan untuk memperbanyakkan amalan, jadi harap kurang sedikit keji mengeji kata mengata,” ujar Mohd Hashim lagi.

Semoga PRK kali ini dapat dilaksanakan dalam keadaan yang bersih, aman dan sederhana, lagi-lagi bagi menghormati bulan Ramadan yang penuh rahmat.

Wan-Muhammad-Khairil-Anuar-helikopter-terhempas-sarawak.jpg
Tragedi nahas helikopter jenis Eurocopter AS350 – Sumber: malaysiastylonews.com

Pada masa yang sama, Marilah kita sama-sama mendoakan Allahyarham Datuk Noriah, Datuk Wan Mohammad Khair-il serta semua mangsa yang terlibat dalam insiden nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei baru-baru ini. Semoga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

Sumber: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/pkr-sungai-besar-kuala-kangsar-serentak-18-jun

 

Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker