Sukan

Format baharu Piala Malaysia – setuju atau tidak?

Pusingan pertama saingan Liga Super dan Liga Perdana kini menuju selekoh penamat dengan aksi terakhir akan menjadi penentu beberapa pasukan bagi merebut slot ke Piala Malaysia 2016.

Saingan Liga Malaysia musim ini tampak lebih menarik dan menghadirkan persaingan sengit selepas format baru diperkenalkan.

Ia menyaksikan pencapaian setiap pasukan dalam pusingan pertama liga akan menentukan nasib mereka ke Piala Malaysia.

Kelayakan baru menetapkan 11 pasukan teratas Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Perdana dalam pusingan pertama liga akan layak ke kejohanan itu.

Berdasarkan kedudukan semasa, 10 pasukan teratas Liga Super dan tiga pasukan teratas Liga Perdana sudah mengesahkan kemaraan.

Namun, selebihnya masih bersaing merebut baki slot ketika peluang beberapa pasukan lain juga sudah tertutup membabitkan pasukan bawahan Liga Perdana.

Perlawanan terakhir merupakan aksi yang amat penting buat Pahang, Pulau Pinang dan Sarawak. Pahang tampak lebih selesa namun Pulau Pinang dan Sarawak merupakan dua pasukan tercorot dan berkongsi 6 mata yang sama.

Selepas menamatkan perlawanan ke-10 secara keseluruhannya, Felda United muncul selaku pendahulu liga, diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor sebelum kelompok empat teratas dilengkapkan T-Team.

Di samping itu, JDT II, PKNS FC, Kuantan FA dan DRB-Hicom akan bersaing sengit untuk mendapatkan baki dua slot ke Piala Malaysia setelah Kuala Lumpur, Melaka United dan Negeri Sembilan mengesahkan kemaraan masing-masing.

Berdasarkan format sebelum ini, Piala Malaysia dilangsungkan selepas tamat saingan liga yang mana pasukan yang layak dikira berdasarkan kedudukan mereka dari keseluruhan musim.

Apakah format baharu yang dicadangkan FMLLP akan membuahkan hasil dengan menghasilkan aksi yang lebih kompetitif?

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button