PolitikTempatan

PRN Sarawak Ke-11: Masa Yang Ditunggu Telah Pun Tiba

Menjelangnya musim mengundi pada tahun ini, kita dapat lihat pelbagai jenis warna bendera telah pun digantung oleh parti-parti politik bagi meraih sokongan daripada rakyat. Akhirnya, masa yang dinanti-nantikan telah pun tiba hari ini (07 Mei 2016), di mana warga Sarawak telah pun pulang ke halaman masing-masing bagi menjalankan tanggungjawab mereka dalam memberi mandat pemerintahan 5 tahun seterusnya kepada parti/calon pilihan mereka.

Oleh itu, mari kita imbas kembali segala pengetahuan yang telah dipelajari melalui video-video yang dipaparkan oleh Toodia Dot My.

Mengundi adalah penting untuk setiap rakyat kerana ia adalah satu jaminan hak anda untuk mengundi sebagai warganegara Malaysia. Selain itu, ia juga adalah satu kelebihan kepada rakyat di mana mereka boleh memilih mana-mana parti yang mereka mahu untuk memerintah daerah, negeri, dan negara meraka – adalah satu keistimewaan yang besar buat rakyat.

Untuk beberapa negara, ada yang diperintah berdasarkan demokrasi – sama ada berparlimen atau berpresiden.

Terdapat 6 sifat yang penting dalam pemerintahan demokrasi, iaitu:

  1. Perlembagaan yang menghadkan kuasa dan kawalan operasi formal kerajaan
  2. Pilihanraya untuk memilih pegawai-pegawai awam yang dikelolakan secara bebas dan adil
  3. Rakyat diberi hak mengundi
  4. Kebebasan suara (ceramah, berhimpun dan sebagainya)
  5. Kebebasan akhbar dan akses kepada media lain
  6. Kebebasan persatuan

Demokrasi berparlimen adalah di mana Parlimen adalah badan perundangan tertinggi dan Parlimen (legislature) adalah badan yang mewakili rakyat untuk membuat undang-undang negara. Selain itu, pemerintahan demokrasi secara berparlimen ini adalah terdiri daripada ahli-ahli yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum.

Dalam pemilihan tersebut, rakyat mempunyai hanya sekali sahaja pilihanraya iaitu memilih wakil ke Dewan Rakyat. Kemudian, parti yang menang dengan majoriti berhak untuk membentuk kerajaan serta melantik Ahli Kabinet dari kalangan pemimpin parti yang menang tersebut. Antara negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen ini adalah negara Jepun, Britain, Malaysia, India.

Demokrasi Berpresiden pula adalah di mana ketua negara dan ketua kerajaan adalah Presiden itu sendiri. Pemerintahan ini selalunya mempunyai badan eksekutif yang lebih stabil kedudukannya disebabkan sifatnya yang tidak bergantung kepada parlimen.

Terdapat dua jenis pilihanraya bagi demokrasi ini, iaitu pilihanraya untuk memilih calon Presiden dan Pilihanraya untuk memilih wakil ke Dewan Perwakilan Dewan Senat. Antara negara yang mengamalkan sistem ini adalah Mexico, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina.

Tetapi sebelum itu, sudahkah anda arif dengan cara-cara asas untuk mengundi? Untuk pengetahuan anda, rakyat yang layak untuk mengundi adalah warganergara Malaysia dan mereka juga harus berusia 21 tahun ke atas. Untuk menjadi seorang pengundi yang sah, anda perlu mendaftar terlebih dahulu.

Terdapat dua kaedah yang boleh anda gunakan untuk mendaftar, iaitu:

  • Kaedah 1: Pendaftaran statik seperti (hanya boleh dibuat pada waktu siang)

  • Ibu pejabat Suruhan Pilihan Raya di Putrajaya
  • Pejabat Pilihan Raya Negeri
  • Pejabat Pos Berkomputer
  • Pejabat Daerah / Majlis Daerah
  • Kaedah 2: Pendaftaran Bergerak (perlu tetapkan masa yang sesuai)

  • Program Out-Reach SPR
  • Penolong Pendaftaran yang dilantik SPR
  • Pasaraya, pasar malam dan sebagainya

Disebabkan syarat pendaftaran itu, ramai juga telah mempersoalkan tentang mengapa pendaftaran ini tidak dilakukan secara automatik ataupun online.

Hal ini kerana, SPR tidak mahu menimbulkan sebarang kesulitan kepada pemilih berdaftar yang tidak menukar atau mengemaskini alamatnya dalam kad pengenalan jika dia telah berpindah ke tempat lain.

Selain itu, SPR juga tidak melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara online kerana ia akan menyebabkan penipuan dan penyamaran; di mana seseorang akan mendaftar bagi pihak orang lain.

Apabila anda sudah pun menjadi seorang pengundi yang sah, sementara menunggu hari untuk anda mengundi tiba, apa yang anda boleh lakukan adalah dengan mengikuti setiap perkembangan mengenai isu ini melalui media massa. Bercakap mengenai media massa, adakah anda sedar tentang peranan media massa dalam perihal politik?

Seperti mana yang kita sedia tahu, media merupakan satu bentuk perantara yang digunakan bagi menyampaikan sesuatu maklumat atau pesanan kepada masyarakat umum. Dengan itu, medium ini telah membawa pelbagai peranan dari aspek politik kepada kita.

Antara peranannya adalah:

  1. Supaya mendidik pengundi untuk memilih parti politik atau calon yang betul
  2. Untuk melaporkan perkembangan kempen pilihanraya kepada rakyat
  3. Merupakan saluran bagi parti politik atau calon untuk berkomunikasi atau menyampaikan mesej kepada rakyat
  4. Satu ruang komunikasi masyarakat untuk berinteraksi serta meluahkan pandangan dan keprihatinan kepada parti politik atau calon, kerajaan dan juga pengundi lain.
  5. Membolehkan parti politik atau calon untuk mengadakan sesi debat

Untuk keseluruhannya, sebagai perantara, media seharusnya bertindak adil dan tidak memilih kasih dalam laporan mereka.

Selain itu, berita yang disampaikan juga seharusnya bersih daripada unsur berat sebelah, memburukkan sesuatu pihak dan tiada budaya tokok tambah.

Kami berharap agar setiap lapisan masyarakat, terutamanya golongan belia dapat memanfaatkan segala pengetahuan yang telah dipelajari melalui video-video yang telah kami paparkan.

Kepada rakyat di Sarawak, kami mengucapkan selamat menjalankan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri Ke – 11 ini. Semoga anda semua memilih parti/calon yang mempunyai perancangan yang baik untuk masa depan negeri serta penduduk Sarawak secara menyeluruh.

Show More

Related Articles

Back to top button