Isu SemasaPolitik

Kempen Pilihanraya Di Malaysia Perlu Seperti Filipina Yang Penuh Hiburan Dan Tarikan?

Filipina bakal memilih Presiden baru untuk negara mereka pada 9 Mei 2016 ini. Seramai 55 juta rakyat Filipina akan mengundi untuk Presiden, Timbalan Presiden, Senator dan 18,000 pegawai tempatan.

Kempen di Filipina ini boleh dikatakan sangat menarik dengan lima calon Presiden dan 6 calon Timbalan Presiden.

Presiden

  • Jejomar Binay
  • Rodrigo Duterte
  • Grace Poe
  • Mar Roxas
  • Miriam Defensor-Santiago

Timbalan Presiden

  • Alan Peter Cayetano
  • Chiz Escudero
  • Gringo Honasan
  • Bongbong Marcos
  • Leni Robredo
  • Sonny Trillanes

Berikut merupakan empat kunci kempen pilihanraya Filipina 2016

  1. Berkempen dan berhibur

Seorang calon kongres, Ruffy Biazon yang bertanding untuk menjadi wakil rakyat mendendangkan lagu dari penyanyi terkenal Amerika, Ed Sheeran kepada orang ramai setelah ber‘selfie’ dan berjabat tangan dengan semua orang yang hadir pada setiap langkahnya untuk tiba di atas pentas.

Nyanyian ‘Thinking Out Loud’ beliau disambut dengan sorakan yang luar biasa oleh para wanita seperti Ed Sheeren yang sedang menyanyikan lagu tersebut di hadapan mereka. Ruffy Biazon juga bak seorang penyanyi pujaan ramai, beliau melontarkan topi dan kemeja-T kepada para penonton.

Di akhir nyanyian Ruffy, beliau mengingatkan orang ramai untuk hadir awal di tempat mengundi pada 9 Mei dengan membawa kad pengenalan serta tidak lupa untuk menulis nama Ruffy Biazon sebagai Ahli Kongres!

Ruffy Biazon kemudiannya meneruskan kempen yang diselitkan beberapa lagi lagu untuk didendangkan sebelum pulang. Setiap hari beliau akan tidur pada pukul 1 pagi dan meneruskan kerja lagi pada pukul 6 pagi. Rutin ini dilakukan beliau sejak 3 bulan yang lalu.

Kempen seperti ini bukan sahaja dilakukan oleh Ruffy Biazon tetapi hampir semua ahli politik yang bertanding. Sememangnya untuk memenangi hati rakyat, mereka perlu ada hubungan baik dengan rakyat yang bakal mereka wakili.

Ruffy Biazon berkata kesabaran dan stamina sangat penting semasa berkempen. Ia berbeza apabila dipilih dan bukan dilantik. Beliau perlu berkerja kuat dan berkempen dengan semangat serta turun padang dan bersemuka dengan rakyat kerana ia akan lebih bermakna.

Menghampiri hari mengundi, para calon masing-masing meningkatkan kempen mereka.

Senator Grace Poe, 47, calon Presiden telah melantik seorang pengarah pentas untuk memastikan para penonton bersorak dan mendengar apabila perlu. Seperti kempen ahli politik lain, kempen beliau juga tidak terlepas dengan dendangan lagu dari penyanyi dan kumpulan band popular yang telah menjadikan malam kempennya seperti konsert besar-besaran.

Selain daripada nyanyian dan tarian, calon juga tidak terlepas dari berkempen di kaca televisyen dan muncul dalam drama bersiri, acara lawak, nyanyian gereja dan juga tarian terkenal ‘Look Up, Look Up’.

Rodrigo Duterte, 71 tahun yang merupakan calon yang sedang berada di barisan hadapan untuk memenangi kerusi Presiden gemar menggunakan kata-kata kesat dalam ucapannya akan sering mendapat sorakan yang gemuruh pada setiap kata kesat yang dikeluarkannya. Perkara ini juga mendapat perhatian para wartawan yang sentiasa menanti dan mengira berapa banyak perkataan kesat yang dikeluarkan oleh beliau semasa berkempen.

  1. Legasi turun-temurun dan kisah menyentuh hati

Politik di Filipina adalah sesuatu yang peribadi. Isu yang dibangkitkan itu tidak penting bagi mereka tetapi siapa yang bertanding adalah lebih penting.

Rakyat Filipina lebih memilih untuk mengundi nama yang dikenali dan mereka sangat taat kepada keturunan ataupun legasi turun-temurun. Contohnya di Ilocos, Utara Manila, 9 juta pengundi di situ sangat taat kepada legasi Ferdinand Marcos yang terkenal sebagai seorang diktator. Tiga generasi Marcos telah mengikuti jejak langkah mendiang Ferdinand Marcos dan dijangka mendapat undian yang tinggi dari daerah tersebut.

President Benigno Aquino III juga telah mewarisi legasi keluarga beliau sejak kemerdekaan Filipina pada tahun 1898.

Selain daripada legasi keluarga yang terkenal, orang Filipina juga cenderung memilih calon yang mempunyai kisah tersendiri. Contohnya bintang tinju, Manny Pacquiao yang asalnya seorang penjual ikan dan akhirnya menjadi petinju terkenal dan kaya-raya. Beliau telah memenangi hati pengundinya sehingga berada di tangga ketiga teratas daripada 52 calon senator walaupun sebenarnya kurang menonjol sebagai seorang ahli kongres.

  1. Wang

Walau bagaimanapun, wang juga sememangnya memainkan peranan penting dalam berkempen. Dijangka kos menjalankan kempen Presiden ini adalah dari 2.5 billion pesos (RM200juta) ke 3 billion pesos (RM255juta) dan 80% daripada kos ini adalah untuk iklan politik mereka.

Kajian yang dilakukan oleh Nielsen Media telah melaporkan calon bertanding untuk kerusi Presiden, Timbalan Presiden dan Senator telah mengeluarkan 10.2 billion peso (RM1billion).

  1. Internet

Internet juga telah memainkan peranan penting dalam mempengaruhi undian. Separuh daripada populasi Filipina menggunakan internet dan separuh daripada mereka ini ‘online’ setiap hari.

Namun, kebanyakan daripada mereka menunjukkan ketidakpuasan hati di alam maya. Mereka inginkan perubahan tanpa mengenang kembali apa yang pernah berlaku sebelum ini.

Menerusi analisa awal, penganalisis politik menjangkakan ahli politik yang mempunyai personaliti menarik dan kekuatan memerintah bakal mendapat sokongan kuat pada pilihanraya kali ini.

Kita tunggu dan lihat. Selamat Mengundi Filipina!

Sumber: Inquirer

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button