PolitikTempatan

Calon-Calon Muda PRN Sarawak Ke-11

Sesi penamaan calon untuk Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 telah dilaksanakan pada 25 April baru-baru ini di kesemua 82 pusat penamaan calon yang bertempat di pejabat-pejabat kerajaan, dewan orang ramai, sekolah, maktab perguruan, perpustakaan, rumah rehat kerajaan serta stadium tertutup.

Walaubagaimanapun,  parti Barisan Nasional telah memenangi dua bahagian tanpa perlu bertanding kerana dua orang calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menepati syarat untuk bertanding.

Dalam sebuah pilihanraya, terdapat pelbagai faktor yang akan menentukan kemenangan sesebuah parti itu, dan salah satu elemen yang terpenting adalah calon yang dipilih.

Calon-calon yang akan bertanding dalam PRN kali ini terdiri daripada latar belakang yang berbeza dan merupakan profesional dalam pelbagai bidang. Parti-parti politik telah menampilkan beberapa wajah baharu daripada kalangan orang muda untuk mewakili mereka dalam memenangi hati rakyat di Sarawak.

Dalam pada itu, PRN ke-11 ini juga melakar sejarah baru kerana buat pertama kalinya, seorang calon Orang Kurang Upaya (OKU) telah dipilih untuk bertanding mewakili Parti Amanah.

Berikut adalah senarai calon muda yang telah diberi amanah untuk mewakili parti masing-masing dalam pilihan raya kali ini:

BARISAN NASIONAL

1.Allan Siden Gramong (PBB)

Pemuda berusia 30 tahun ini dipilih untuk mewarisi tempat bapanya, Gramong Juna yang telah berkhidmat selama sembilan penggal sebagai ADUN Machan. Demi meneruskan legasi bapanya untuk terus berkhidmat kepada rakyat, Allan akan berusaha sebaik mungkin dalam memastikan lebih banyak kemudahan dan kemajuan untuk kawasannya itu.

Pada masa yang sama, beliau juga akan memberi tumpuan kepada kawasan pedalaman yang masih ketiadaan kemudahan bekalan infrastruktur sambil memperbaiki kehidupan penduduk di kawasan Machan. Allan adalah seorang Ahli Parlimen Belia Malaysia dan Ahli Exco Pemuda PBB Pusat. 

2. Gerald Rentap Jabu (PBB)

Sama seperti Allan, Gerald Rentap juga akan mewarisi legasi kepimpinan bapanya, Tan Sri Alfred Jabu yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak. Alfred Jabu telah berhasrat untuk tidak lagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar, yang telah diwakilinya sejak lebih 40 tahun, untuk memberi peluang kepada generasi muda demi kebaikan parti dan juga rakyat secara amnya. Oleh itu, anaknya, Gerald Rentap Jabu merupakan calon yang paling sesuai untuk menjadi pengganti. 

3. Fazzrudin Abdul Rahman (PBB)

Pemuda yang menyandang jawatan setiausaha politik Menteri Kerja Raya ini akan bertanding di kawasan DUN Tupong, menjadi pengganti kepada bekas ADUN, Datuk Daud Abdul Rahman. Beliau berhasrat untuk meneruskan segala usaha yang telah dilakukan oleh YB Daud sebelum ini dan pada masa yang sama meningkatkan lagi pembangunan modal insan di Sarawak.

PARTI KEADILAN RAKYAT (PKR)

1. Mohamed Salleh Shawkatali

Mohamed Salleh merupakan calon muda PKR yang telah dipilih untuk bertanding di kawasan DUN Satok. Bekerja sebagai seorang usahawan, pemuda berusia 35 tahun ini berhasrat untuk menubuhkan program-program usahawan, memperbaiki kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan polis, dan juga melaksanakan sesi tuisyen percuma dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pendidikan penduduk di kawasan itu.

DEMOCRATIC ACTION PARTY (DAP)

1. Abdul Aziz Isa

Abdul Aziz Isa, 26, yang juga pembantu khas kepada Pengerusi DAP Sarawak, akan bertanding di kawasan DUN Kitang. Parti itu  yakin bahawa  Abdul Aziz merupakan salah seorang calon generasi baharu muda yang berkebolehan untuk memberi sumbangan besar dan efektif kepada masyarakat sub-urban di Sarawak.

PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS)

1. Hamidah Binti Mokhtar

Antara kesemua 11 orang calon yang mewakili parti PAS, Hamidah ,26 tahun, merupakan calon termuda dan juga satu-satunya calon wanita yang telah dipilih untuk bertanding di kawasan DUN Beting Maro. Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sistem Maklumat Perniagaan dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan kini menceburi bidang usahawan sebagai pengurus sebuah butik pemakaian muslimah.

2. Ustaz Yusof Assidiqqi Bin Ahmad Sharkawi

Ustaz Yusof memegang beberapa jawatan penting di dalam PAS dan antaranya adalah; Penyelaras Urusan Ulamak PAS Kawasan Petrajaya dan Pengarah Jabatan IT Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan. Anak muda berusia 30 tahun ini juga pemegang ijazah sarjana muda daripada Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Al-Quran dan Qiraat.

Di Mesir, beliau bukan sahaja mempelajari ilmu-ilmu Al-Quran, malah beliau juga telah mengikuti pengajian-pengajian agama dengan pakar ilmuan Islam di sana. PAS yakin akan kebolehan Yusof untuk membela nasib anak-anak muda serta golongan dewasa/tua dan membimbing mereka ke arah Islam yang sebenar supaya mendapat keredhaan Allah S.W.T.

3. Zulkipli Bin Ramzi

Sebagai Bendahari & Setiausaha Keja (SUK) Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak dan juga Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Kota Samarahan, Zulkipli, 38, telah diamanahkan untuk menjadi calon di kawasan DUN Muara Tuang. Menurutnya, sekiranya diberi mandat, beliau akan berusaha untuk mengubah nasib penduduk di kawasan Muara Tuang yang selama ini tidak mendapat perhatian dan pembelaan yang sewajarnya.

4. Mohammad Arifiriazul Bin Paijo

Mohammad Arifiriazul Bin Paijo, atau lebih dikenali sebagai Arif Paijo, adalah Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia dan juga Ketua Pemuda Pas Negeri Sarawak. Kini berumur 32 tahun, beliau merupakan calon muda yang ditempatkan untuk bertanding di kawasan DUN Lambir. “Semoga dengan kepercayaan dan mandat yang bakal diberikan oleh rakyat, membolehkan calon PAS berkhidmat kepada rakyat, seterusnya dapat menyelesaikan permasalahan yang membelenggu rakyat selama ini,” kata beliau. 

PARTI AMANAH NEGARA (PAN)

1. Rapelson Richard Hamit

Seperti yang telah diberitahu tadi, Parti Amanah Negara (PAN) telah melakar sejarah baru dalam dunia politik Sarawak apabila menyerahkan watikah pelantikan kepada seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) sebagai calonnya.

Pemuda yang akan bertanding dalam kawasan DUN Gedong itu bernama Rapelson Richard Hamit, seorang aktivis muda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial daripada Unimas.

Walaupun mempunyai kekurangan dari segi aspek fizikal, ia tidak menjadi penghalang kepada anak muda ini untuk terus yakin dengan dirinya sendiri bahawa beliau mampu membawa kejutan dalam pilihan raya ke -11 kali ini.

Antara semua calon muda yang telah disenaraikan, siapakah yang betul-betul berkalibur dan mampu memenangi hati rakyat Sarawak? Kita tunggu dah lihat pada 07 Mei nanti! Sekiranya sesiapa diantara mereka memenangi di kawasan masing-masing, semoga mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas, jujur dan amanah.

Sumber: Sarawak Voice, The Borneo Post, Berita Harian

 

Show More

Related Articles

Back to top button