PolitikTempatan

PRN Sarawak Ke-11: Parti Dan Manifesto

Berikutan tempoh penggal pemerintahan negeri Sarawak yang bakal menemui penghujungnya pada 30 Jun 2016 akan datang, maka akan berlangsunglah Pilihanraya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN11) pada hari Sabtu ini, 07 Mei 2016, bagi tujuan memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam penubuhan kerajaan negeri yang baru.

PRN ke-11 ini bakal menyaksikan persaingan hangat kerana sebanyak 82 kerusi akan dipertandingkan berbanding bilangan asal, iaitu 71 kerusi. Hal ini berlaku berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang telah diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Antara parti yang akan bertanding dalam Pilihanraya Negeri 2016 ini adalah:

  • Barisan Nasional: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Bersatu (UPP), dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).
  • Pakatan Harapan: Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah).
  • Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

PRN kali ini buat pertama kalinya diketuai oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem (Barisan Nasional) selepas mewarisi legasi kepimpinan negeri Sarawak pada 28 Februari 2014 daripada bekas Ketua Menteri, Tun Abdul Taib Mahmud (kini TYT Sarawak), yang telah memimpin negeri itu selama 33 tahun berturut-turut.

Dalam pada itu, “Beri Peluang Kepada Team Adenan” menjadi tema utama manifesto Barisan Nasional dalam usaha merealisasikan segala perancangan parti itu untuk penduduk negeri Sarawak bagi jangka masa  5 tahun yang akan datang.

Walaubagaimanapun, keadaan berbeza buat parti pembangkang kerana manifesto mereka  adalah berlainan dan mempunyai perancangan yang tersendiri buat masa depan penduduk Sarawak.

Di sini, kami memaparkan senarai manifesto yang telah dikeluarkan oleh parti Barisan Nasional dan juga segelintir daripada parti Pembangkang.

15 TERAS UTAMA MANIFESTO BARISAN NASIONAL: BERI PELUANG KEPADA TEAM ADENAN 

1. Menegakkan hak Sarawak dan rakyatnya

2. Mempertahankan keamanan dan keharmonian negeri kita

3. Memelihara budaya, warisan dan kepercayaan pelbagai kaum di Sarawak

4. Menjamin hak rakyat ke atas tanah mereka

5. Melindungi dan memulihara alam semulajadi

6. Mempertingkatkan kebajikan golongan yang kurang bernasib baik

7. Menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana

8. Mempercepatkan pembangunan jaringan jalan, liputan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi

9. Meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan

10. Meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti sosio-ekonomi

11. Mengiktiraf dan membangunkan potensi belia demi masa depan kita

12. Memajukan pendidikan dan latihan teknikal

13. Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sarawak

14. Membangunkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk pelaburan dan keusahawanan

15. Industrialisasikan negeri melalui sektor pembuatan, pelancongan dan transformasi luar bandar.

MANIFESTO DAP: PERKONGSIAN KEKAYAAN UNTUK SEMUA RAKYAT SARAWAK

1.Perkhidmatan bas percuma

2. Perkongsian hasil hutan secara saksama

3. Perkongsian tanah

4. Penciptaan peluang pekerjaan

5. Penambahbaikan perkhidmatan internet

6. Peningkatan keselamatan

7. Ketelusan urus tadbir

8. Penjawat awam berbilang bangsa

9. Autonomi cukai 

10. Autonomi pendidikan.

MANIFESTO PKR: EKONOMI YANG KUAT, MASYARAKAT YANG ADIL

1. Mengurangkan kos sara hidup dengan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

2. Pembangunan setara dengan semenanjung

3. Mengembalikan tanah Hak Adat Bumiputera dan hak autonomi Sarawak

4. Memperjuangkan royalti minyak 20% 

5. Membawa perubahan sepertimana yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor.

MANIFESTO PAS: TAWARAN UNTUK SARAWAK

1. PAS Sarawak akan MEMPERTAHANKAN HAK ANAK NEGERI SARAWAK sebagaimana yang termaktub di dalam Perjanjian Persekutuan Malaysia 1963. Oleh yang demikian, bakal ADUN PAS akan menyokong dan mendokong usaha mempertahankan hak tersebut mengikut saluran undang-undang dan demokrasi sedia ada.

2. PAS Sarawak komited MEMELIHARA HAK PELBAGAI KAUM, AGAMA DAN BUDAYA di negeri Sarawak. Oleh yang demikian, bakal ADUN PAS tidak akan memberi ruang kepada isu-isu yang mengganggu-gugat hak setiap kaum dan agama di negeri ini dengan mengamalkan budaya harmoni dan sejahtera.

3. PAS Sarawak KONSISTEN MENUNTUT ROYALTI 20% MINYAK DAN GAS. Oleh yang demikian, bakal ADUN PAS akan konsisten menuntut hak tersebut dikembalikan kepada rakyat Sarawak secara adil dan saksama.

4. PAS Sarawak TEGAS DALAM CAPAIAN MENYELURUH KEMUDAHAN ASAS RAKYAT. Oleh yang demikian, bakal ADUN PAS akan menyuara dan memperjuangkan hak tersebut untuk dilaksanakan secara menyeluruh untuk rakyat Sarawak.

5. PAS Sarawak SEDIA MENDENGAR ADUAN RAKYAT. Oleh yang demikian, bakal ADUN PAS akan menubuhkan Pusat Aduan Rakyat yang aktif di DUN PAS menang dengan komitmen mendengar suara dari seluruh lapisan masyarakat di DUN berkaitan.

Setelah melihat manifesto-manifesto yang telah dibentangkan ini, semoga para pengundi, terutamanya dari kalangan belia dapat membuat penilaian dengan rasional serta memilih parti atau calon politik yang mempunyai perancangan yang baik untuk masa depan negeri Sarawak.

Sumber: Malaysiatercinta.com

 

Show More

Related Articles

Back to top button