Gaya HidupKesihatan

Susu Badan Mengandungi Darah, Adakah Ia Selamat Untuk Bayi?

Adalah satu fitrah dunia bagi seorang ibu untuk menyusu anaknya dengan susu badan. Penyusuan ini juga boleh diteruskan melalui pemerahan sebagai bekalan untuk anak mereka – buat ibu-ibu yang bekerja.

Walau bagaimanapun, antara masalah yang dihadapi oleh segelintir para ibu adalah dimana susu mereka bertukar warna kepada merah jambu – seperti bercampur dengan darah.

Hal ini telah menimbulkan pelbagai kesangsian kepada para ibu sekiranya ia selamat untuk diberi kepada bayi mereka atau tidak. Selain itu, mereka turut risaukan kemungkinan yang lebih besar seperti kanser.

Oleh itu, apakah faktor-faktornya dan apakah yang perlu dibuat sekiranya perkara ini berlaku kepada anda?

  1. Puting atau tisu payudara anda mengalami kecederaan

Selain daripada kerapan memerah susu menggunakan pam, posisi dan lekapan tidak betul bayi pada payudara anda ketika menyusu juga boleh menyebabkan puting anda luka.

Jika ini berlaku pada anda, anda perlu merawatnya agar tidak berlaku jangkitan payudara atau mastitis.

  1. “Rusty pipe syndrome”

Fenomena ini berlaku terutamanya pada awal atau penghujung kehamilan, akibat peningkatan bekalan darah dan pembengkakan pada salur darah kepada sel-sel tisu alveoli (kantung susu) dan akan sembuh sendiri dalam tempoh 3-7 hari.

Para ibu tidak perlu berhenti daripada menyusu bayi mereka kerana kuantiti darah yang bercampur hanya sedikit dan tidak akan mengapa-apakan bayi.

  1. “Intraductal papilloma”

Ia adalah satu ketumbuhan kecil yang tidak merbahaya yang mengakibatkan lelehan berdarah yang tidak kerap, tidak sakit dan selalunya berlaku pada salah satu puting anda.

Walaupun ia mampu dirawat, jika anda masih mengalami pendarahan yang semakin teruk setelah pembedahan, anda perlu berjumpa dengan doktor anda bagi pemeriksaan yang selanjutnya.

  1. Anda mungkin menghidap kanser payudara

Tidak dapat dinafikan bahawa kanser payudara adalah antara faktor yang bermain difikiran ibu yang mengalami pendarahan pada putingnya. Ini kerana, kanser payudara adalah kanser kedua yang kerap berlaku ketika hamil.

Kebiasaannya, wanita yang mengalami kanser ini juga akan menjumpai ketulan yang tidak menyakitkan pada payudara mereka. Jika ini berlaku kepada anda, terus jumpa doktor anda untuk pemeriksaan yang lanjut.

Mungkin akan ada yang mempersoalkan sekiranya ianya halal disisi agama untuk memberi anak anda susu yang bercampuran dengan darah.

Jawapannya – susu yang bercampur darah yang amat sedikit disahkan selamat untuk diminum oleh bayi dan adalah halal penggunaannya dan tidak diharamkan di atas sebab rukhsah tersebut.

Tetapi sekiranya bayi anda tidak dapat menerima susu yang bercampuran darah itu, apa yang anda boleh buat adalah perah payudara anda sehingga susu menjadi warna asalnya semula.

Ini adalah kerana susu ini adakalanya bertindak sebagai bahan yang boleh meransang muntah yang menyebabkan sistem percernaan bayi tidak dapat menerimanya dengan baik.

Sumber: http://www.mmgazette.com/

Show More

Related Articles

Back to top button