AntarabangsaIsu Semasa

Media Berjaya Membuka Mata Orang Tentang Islam Tetapi Mengapa Secara Negatif?

Media merupakan satu medium/perantara yang  mampu membentuk dan mempengaruhi pandangan seseorang individu dalam pelbagai aspek. Sebagai contoh, selepas kita menonton sesebuah berita atau filem, pasti ia sedikit sebanyak mengubah persepsi kita terhadap sesuatu perkara itu.

Antara isu yang ingin kami ketengahkan adalah pandangan masyarakat seluruh dunia terhadap keganasan, atau kata yang lebih popular, ‘terrorism’. Persoalannya, apakah yang digambarkan apabila kita memikirkan tentang keganasan?

Mudah. Jawapannya boleh didapati di dalam media massa masa kini yang sering menunjukkan gambaran bahawa kumpulan pengganas serta segala aktiviti keganasan yang berlaku kononnya berlatar belakangkan agama Islam sahaja.

Dalam pada itu, pasti soalan-soalan ini juga sering berlegar-legar di ruang fikiran anda:

1. “Sejak bila dan bagaimana pandangan sebegini  wujud?”

2.”Kenapa kalau setiap kali terdengar atau terfikirkan ‘terrorist’ sahaja terus terbayang orang – orang Arab dari Timur Tengah, lengkap dengan serban, ‘machine gun’ dan juga jaket bom mereka?

Segala persepsi  ini datang daripada pengaruh media massa, tidak kiralah di televisyen, radio, internet, media sosial dan yang sewaktu dengannya.

Oleh itu, fokus utama yang ingin dibincangkan dalam artikel ini adalah peranan media dalam membentuk pandangan masyarakat dunia terhadap keganasan, sebelum dan selepas insiden serangan 9/11 yang berlaku di Amerika Syarikat.

Cara kita melihat keganasan hari ini selalunya melibatkan unsur-unsur ganas yang dianggap sebagai satu ancaman berskala besar.

Sejak serangan 9/11, ia adalah satu perkara yang  sangat ‘rare’ untuk kita tidak terdengar tentang sebarang bentuk kes keganasan.

Kita juga sangat cenderung untuk ‘melatah’ atau memberi respon yang keterlaluan dengan berfikir bahawa keganasan telah menyebabkan banyak kematian dan kerosakan, sedangkan dalam realiti yang sebenarnya, peperangan adalah punca utama kedua-dua perkara itu.

Apa yang membezakan keganasan dengan peperangan adalah ketakutan. Jika sesuatu tindakan itu menimbulkan ketakutan, ia lebih cenderung untuk jatuh di bawah kategori keganasan.

SEBELUM INSIDEN 9/11

Serangan yang berlaku pada 11 September 2001 telah mengubah persepsi masyarakat seluruh dunia terhadap keganasan buat selama-lamanya. Ini terjadi kerana serangan tersebut telah menyebabkan kejutan dan kemusnahan yang besar sehingga ia memberi impak yang amat luar biasa dari segi aspek fizikal dan juga mental orang ramai, terutamanya rakyat Amerika.

Sebelum berlakunya insiden berkenaan, media massa di Amerika Syarikat amat berhati-hati dan selektif tentang bagaimana dan berapa kerap mereka akan melaporkan topik keganasan.

Rangkaian pengganas dan media memerlukan antara satu sama lain. Tindakan keganasan yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan ini secara langsung menjadi ‘bahan yang kukuh’ untuk kebanyakan syarikat media besar, dan pada masa yang sama media bertindak sebagai ‘platform’ kepada pengganas untuk ‘mempromosikan’ perjuangan mereka.

Selain itu, akhbar-akhbar juga akan menggunakan perkataan-perkataan seperti rebels, guerilla, dan juga revolutionalist’ berbanding ‘terrorist’, yang kini semakin aktif digunakan selepas insiden 9/11.

SELEPAS INSIDEN 9/11

Media di Amerika Syarikat membuat liputan ‘terrorism’ dengan memberi fokus terhadap siapa yang melakukannya, apa yang berlaku, di mana ia berlaku, dan bagaimana mereka melakukannya, tetapi tidak pernah sesekali melaporkan mengapa  ia berlaku.

Malangnya, “Wars sell papers” (peperangan melariskan penjualan akhbar) merupakan salah satu ‘budaya’ media untuk meraih rating dan keuntungan yang besar. Bukan semua, tetapi kebanyakan syarikat-syarikat media besar menjadikan ia sebagai ‘amalan biasa’. Melalui penjualan media ini,  ia menjadi penyumbang besar dalam membentuk persepsi kita terhadap pengganas dan keganasan.

Namun begitu, pandangan sebegini juga memberi impak yang negatif terhadap masyarakat, dan hasilnya dapat dilihat dengan jelas kerana terdapat banyak diskriminasi yang dilakukan oleh pelbagai pihak terhadap sesuatu kumpulan, dan dalam konteks ini adalah orang-orang Islam.

Disebabkan tragedi 9/11, terdapat pelbagai persepsi buruk yang dilemparkan terhadap orang Islam. Organisasi serta kumpulan Anti-Islam telah mendominasi media sejak kejadian itu dengan menggambarkan  kebimbangan serta bahaya besar, di mana kononnya orang-orang Islam adalah satu ancaman dan boleh melakukan kemusnahan luar biasa.

Islam telah menjadi tumpuan utama masyarakat dunia semenjak 11 September 2001. Terdapat juga segelintir puak yang ingin mengharamkan agama Islam untuk diamalkan di Amerika Syarikat.

Berita yang dilaporkan oleh media berkenaan keganasan mempunyai kebolehan untuk menimbulkan perasaan takut dan gelisah di kalangan masyarakat.

Media telah berjaya menyebabkan perpecahan antara orang Islam dan rakyat Amerika, di mana mereka telah disematkan dengan mentaliti “kita” lawan “mereka”.

Mentaliti seperti ini mewujudkan ketegangan kerana ia memberi gambaran bahawa kononnya sedang berlangsung satu pertempuran besar di antara Islam dan dunia barat.

Apabila orang sentiasa melihat sesuatu melalui media, mereka akan mula menganggap segala cerita yang disiarkan adalah kebenaran. Di samping itu, penggunaan agama telah menjadi satu ‘tema’ utama yang berhubung kait dengan keganasan, seperti yang digambarkan oleh media selepas serangan 9/11.

Ia sudah menjadi satu kebiasaan untuk melihat di media, di mana kumpulan-kumpulan pengganas melakukan pelbagai tindakan keganasan di atas nama agama mereka, iaitu Islam.

Ini adalah kerana kejadian 9/11 lebih tertumpu kepada Fundamentalis Islam berbanding sebelum tragedi itu, yang memberi fokus terhadap pelbagai kumpulan keganasan yang berlatar belakangkan agama yang berbeza.

APAKAH KESIMPULANNYA?

Tragedi 9/11 merupakan satu peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah, bukan sahaja dikalangan media dalam Amerika Syarikat, malah semua media di peringkat global. Oleh kerana insiden itu telah berlaku di Amerika Syarikat sendiri, ia telah menjadikan masalah keganasan sebagai sesuatu yang lebih besar dan serius.

Akhir kata, ia membuktikan bahawa media adalah satu perantara yang sangat berkuasa dalam membentuk pandangan masyarakat terhadap pelbagai perkara, terutamanya dalam isu keganasan. Jadi, kita sebagai masyarakat harus bijak dalam memilih dan menilai segala cerita yang disiarkan oleh media.

Kita telah dianugerahkan akal yang sihat untuk membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Jangan terlalu percaya apa yang disampaikan oleh sesiapa sekali pun, terutamanya media. Sebelum membuat konklusi terhadap sesuatu perkara, pastikan anda membuat siasatan dan kajian yang menyeluruh terlebih dahulu.

 

Sumber: https://www.mckendree.edu/

 

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker