Sukan

Harapan Selangor semakin tipis

Keputusan seri tanpa jaringan menentang wakil Filipina, Ceres La Salle bermakna Selangor wajib menang perlawanan seterusnya jika mahu layak ke pusingan kalah mati dalam kejohanan Piala AFC.

Boleh dikatakan harapan The Red Giants semakin tipis apatah lagi mereka akan berkunjung ke Stadium Nasional, Singapura untuk membuat perhitungan bersama Tampines Rovers dalam perlawanan terakhir Kumpulan E.

Perlawanan menyaksikan Selangor tampak kekurangan idea di atas padang selain beberapa percubaan jarak jauh daripada Nazmi Faiz Mansor.

Manakala, pengaruh penyerang import Mauro Olivi yang masih bergelut di jentera serangan bersama Patrick Ronaldinho amat dirasai dalam satu perlawanan yang kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun, tuah menyebelahi anak buah Zainal Abidin Hassan yang masih mempunyai peluang tatkala pasukan Singapura itu tewas secara mengejut di tangan wakil Bangladesh, Sheikh Jamal Dhanmondi 2-3.

Apa yang pasti, Zainal harus memastikan kesebelasan utamanya cergas penuh jika masih serius dalam misi mencabar pasukan-pasukan lain di pentas Asia Tenggara.

Show More

Related Articles

Back to top button