AntarabangsaIsu Semasa

Kaum Wanita Dilayan Seperti Hamba Setelah Menjadi Isteri Ahli Militan

“Syurga berada di bawah telapak kaki ibu” – kata-kata ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa mulia dan tingginya darjat kaum hawa di dunia ini. Kaum hawa atau lebih dikenali sebagai wanita merupakan antara ciptaan tuhan yang paling istimewa.

Wanita juga disifatkan sebagai perhiasan dunia, di mana mereka ini dianugerahkan fitrah semula jadi yang lemah lembut, penyayang dan yang sewaktu dengannya.

Oleh itu, ia adalah menjadi kewajipan setiap insan, terutamanya lelaki untuk menghormati, menyayangi dan juga melindungi golongan ini.

Walaubagaimanapun, seperti yang kita lihat di laman berita dan kaca televisyen, wanita sering menjadi mangsa kekejaman kumpulan-kumpulan tertentu, terutamanya di negara-negara yang sedang mengalami pergolakkan; sebagai contoh negara Syria.

Menurut kumpulan aktivis di negara Syria, para wanita yang menjadi isteri kepada ahli kumpulan militan ISIS terpaksa mengharungi pelbagai bentuk penindasan – antaranya adalah perlakuan seks ganas atau seks luar tabi’e.

Disebabkan itu, golongan wanita yang telah diperlakukan sebegini menjadi semakin takut untuk meninggalkan rumah mereka. Ramai di antara mereka, terutamanya dari kalangan kanak-kanak perempuan dipaksa untuk berkahwin dengan ahli kumpulan militan ISIS di Raqqa (‘ibu kota’ ISIS di Syria), di mana mereka ini telah dipukul dan didera oleh suami mereka.

Kumpulan aktivis Syria yang bergelar ‘Raqqa is Being Slaughtered Silently’ (RBSS) menyatakan bahawa universiti di kawasan tersebut telah ditutup oleh ISIS, dan pada masa yang sama, mereka turut melarang kaum wanita untuk mengembara ke tempat lain bagi melanjutkan pelajaran.

Memetik laporan dari laman web aktivis itu, pejuang ISIS memulakan ‘misi mencari isteri’ mereka selepas mengambil alih kuasa di bandar tersebut. Dalam pada itu, kumpulan militan itu juga telah memperkenalkan beberapa siri ‘tindakan ganas’ yang direka khas bagi tujuan memaksa wanita untuk berkahwin, dan juga melarang mereka untuk mengembara atau bekerja sekiranya tiada saudara lelaki.

Abu Mohammed Hussam, salah seorang ahli kumpulan aktivis RBSS berkata, wanita yang keluar rumah tanpa penjaga lelaki pasti akan diganggu. Selain itu, wanita berumur seawal 9 sehingga 50 tahun turut akan dihantar ke ‘pusat pengajian khas’ untuk mempelajari ‘ilmu agama’ dan juga ‘cara-cara untuk menjadi seorang isteri yang baik’.

Mengulas lanjut laporan RBSS, ahli kumpulan militan ini akan menjadikan keluarga miskin sebagai ‘sasaran’ mereka, dengan menawarkan mas kahwin (mahar) yang tinggi sebagai ‘pertukaran’ untuk mengahwini anak-anak gadis keluarga di sana.

Hussam telah berpeluang untuk berbual bersama tiga orang wanita berumur 19 hingga 29 tahun yang menjadi mangsa deraan kumpulan ISIS. Salah seorang wanita tersebut telah dimasukkan ke hospital apabila diserang oleh suaminya (pejuang ISIS)  yang dikahwini secara paksa.

Beliau memberitahu portal berita The Independent: ” Sesetengah wanita tersebut berkata bahawa pejuang-pejuang luar ini adalah yang paling teruk, seperti raksasa.” Hussam turut menambah bahawa ahli kumpulan militan ini suka mencari gadis-gadis muda untuk dikahwini.

Kumpulan ISIS selalunya akan mengahwini lebih daripada seorang isteri dan mencari ‘sabaya’, iaitu wanita-wanita yang telah diculik dan dijual untuk menjadi hamba seks. Ia sangat menyedihkan untuk mengetahui bahawa masih ramai lagi kaum wanita yang tertindas dan dilayan seperti hamba/binatang oleh kumpulan-kumpulan tertentu.

Semoga setiap insan di dunia ini tidak terpengaruh dan terjebak di dalam sebarang aktiviti keganasan. Ingatlah bahawa tiada satu pun agama atau mana-mana pemahaman yang mengajar kita untuk melakukan keganasan terhadap sesiapa, terutamanya wanita. Wanita dicipta untuk menjadi peneman sejati dan dilindungi, bukan untuk disakiti.

Sumber: The Independent

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker