Gaya HidupKesihatanMakan & Minum

Penggunaan Minyak Masak Berulang Kali Menjejaskan Jantung & Salur Darah?

Pada era kini yang penuh dengan kos-kos tambahan yang tinggi sememangnya telah membebankan ramai masyarakat. Untuk menjimatkan kos perbelanjaan ini, ramai telah menggunakan minyak masak yang sama berulang kali untuk menggoreng, terutamanya seperti penjual makanan di kedai-kedai makan.

Tiada siapa pun tahu sudah berapa kali minyak yang sama itu digunakan untuk menggoreng. Mungkin 3 kali? Mungkin 5 kali? Atau mungkin juga sudah 10 kali?

Namun begitu, sedarkah anda bahawa tabiat buruk ini mampu menjejaskan kesihatan anda? Sekiranya anda pernah melihat perubahan warna dan rasa pada minyak tersebut, ini adalah akibat suatu siri tindak balas kimia yang berlaku apabila minyak yang sama dipanaskan pada suhu yang tinggi berulang kali.

Ia kemudian akan menghasilkan pelbagai jenis produk yang mengubah fizikal dan menjejaskan kualiti minyak tersebut.

Jadi apakah kesannya terhadap jantung dan salur darah kita? Satu kajian telah mendapati bahawa penggunaan minyak sawit sebanyak 5 atau 10 kali akan mengakibatkan kerosakan tisu pada jantung anda dan juga peningkatan tekanan darah.

Wanita yang telah menopaus mempunyai kebarangkalian untuk menghidap penyakit kardiovaskular seperti aterosklerosis yang mendadak. Ini kerana, setelah menopaus, aras hormon estrogen (sebagai pelindung terhadap penyakit kardiovaskular) akan berkurangan.

Oleh itu, wanita menopaus digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, termasuklah tidak menggunakan minyak masak berulang kali.

Satu kajian telah dijalankan di pasar malam di sekitar Kuala Lumpur, berdasarkan sampel minyak yang diambil didapati bahawa aras peroksida minyak tersebut adalah sangat tinggi dan melebihi aras yang ditetapkan oleh Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Apabila ditanya tentang bahayanya penggunaan minyak masak berulang kali, majoriti daripada mereka mengetahui bahawa penggunaan minyak masak berulang kali adalah tidak baik untuk kesihatan, tetapi mereka tetap menggunakan minyak tersebut.

Jadi adakah anda masih mementingkan isu jimat atau kesihatan anda yang semakin hari semakin merosot itu? Bagi pengetahuan anda, selain daripada penyakit kardiovaskular, penyakit-penyakit lain seperti barah, kerosakan hati serta osteoporosis juga akan terjadi.

Oleh itu, berhentilah mengamalkan tabiat ini sebelum nasi bertukar menjadi bubur.

 

Sumber: http://www.mmgazette.com

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close