Gaya HidupKesihatan

Adakah Kaki Bengkak Semasa Mengandung Disebabkan Oleh Penyakit?

Bagi persoalan di atas, jawapannya adalah ya. Namun begitu, ini hanya sekiranya sakit bengkak tersebut terasa sehingga ke paras pinggang, muka, di celah-celah jari dan bahagian kelamin. Ini kerana ia mungkin disebabkan oleh penyakit tekanan darah tinggi ketika mengandung (‘pre-eclampsia’).

Sekiranya anda mempunyai simptom seperti sakit kepala, pedih di hulu hati, mata kabur dan muntah yang teruk, sila rujuk hal ini kepada doktor anda dengan segera bagi mengelak komplikasi kepada ibu dan bayi dalam kandungan.

Sindrom Nephrotic juga merupakan satu lagi penyakit yang menyumbang kepada kaki bengkak. Penyakit ini berpunca daripada masalah penapisan pada ginjal atau buah pinggang yang menyebabkan protein dan air dikumuhkan keluar daripada salur darah badan kita.

Ia juga penting untuk segera merujuk hal ini kepada doktor anda bagi mengelak daripada berlakunya kegagalan fungsi buah pinggang secara kekal.

Bagaimana pula jika hanya sebelah daripada kaki anda bengkak? Fenomena ini mungkin disebabkan oleh penyakit yang bernama deep vein thrombosis atau darah beku yang tersumbat pada saluran darah kaki.

Penyakit ini akan berlaku sekiranya ibu mengandung itu kurang berjalan dan mengalami dehidrasi. Anda perlu merawatnya dengan segera kerana ketulan darah beku yang lebih kecil ini akan menyusur ke arah jantung dan paru-paru dan boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba.

Disamping penyakit deep vein thrombosis ini, kaki anda juga boleh bengkak disebabkan jangkitan kuman atau kesan alergi. Simptom buat jangkitan ini adalah demam, sakit, kegatalan dan kulit yang kemerahan pada kaki anda. Anda tidak perlu risau kerana jangkitan ini boleh dirawat dengan bantuan antibiotik.

Jadi apakah tips-tips bagi mengurangkan bengkak kepada kedua-dua belah kaki anda? Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil:

1. Kekal terhidrat. Jangan takut untuk minum air atas sebab takut kaki lebih bengkak kerana jika tidak, badan kita akan mengalami dehidrasi yang teruk kerana air di dalam salur darah sudahpun keluar dari salur darah

2. Amalkan meninggikan kaki semasa baring pada waktu malam dengan meletakkan bantal di bawah kaki. Tarikan graviti boleh mengurangkan pengumpulan air pada kaki.

3. Baring mengiring di sebelah kiri badan untuk pengaliran darah yang lebih lancar. Dengan mengamalkan posisi ini, janin tidak akan menekan salur inferior vena cava.

4. Aktif bergerak. Pergerakan yang aktif adalah lebih baik dibanding tidak bergerak langsung untuk anda kerana pengaliran darah akan lebih lancar dan boleh mengelak daripada pembentukan darah beku.

5. Pakai compression stockings. Setokin ini direka khas untuk membantu melancarkan pengaliran darah pada kaki.

6. Pakai kasut yang selesa. Ianya lebih baik buat anda untuk berhenti memakai high heels semasa mengandung dan memakai kasut yang longgar dan bertapak rata untuk mengelakkan tekanan pada kaki yang boleh menyebabkan kesakitan.

7. Merendam kaki. Walaupun tiada bukti kukuh yang mengatakan bahawa ia boleh mengurangkan bengkak pada kaki, ia lebih selasa dan boleh mengurangkan lenguh pada tapak kaki.

Buat ibu mengandung yang tidak mengalami simptom seperti yang dikatakan diatas, bengkak kaki ketika mengandung adalah fenomena biasa buat anda. Bengkak normal yang dikatakan adalah bengkak yang bermula dari buku lali, betis dan menular naik ke paras paha.

Walau apa-apapun, ianya adalah proses biasa yang dialami oleh kebanyakkan ibu semasa mengandung. Amalkan minum air yang banyak dan aktiviti harian yang aktif untuk mengelakkan sebarang komplikasi semasa mengandung

 

 

Sumber: Malaysian Medical Gazette

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close