Gaya HidupKesihatan

8 langkah yang perlu diambil sekiranya dirogol atau diliwat

Pengalaman dirogol atau diliwat semestinya satu pengalaman yang amat mengerikan buat sesiapa sahaja yang menghadapinya. Tambah-tambah lagi sekiranya pelaku atau penyerangnya adalah orang yang anda kenali, ataupun yang memang rapat dengan anda seperti pasangan, rakan, jiran, majikan, bapa, adik beradik, dan sebagainya.

Sekiranya perkara ini terjadi kepada anda, jangan sesekali anda berasa takut atau malu untuk melapornya kepada pihak berkuasa.

Berikut kami senaraikan beberapa langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya perkara tersebut terjadi kepada anda.

  1.  Pergi ke tempat yang lebih selamat dan jauh daripada penyerang anda. Tindakan ini penting kerana ia akan menyelamatkan anda daripada diserang lagi sekali ataupun dibunuh bagi tujuan menghapuskan “bahan bukti” mereka, iaitu anda!

2. Jangan mendiamkan diri! Anda berhak untuk melaporkan mereka yang telah melakukan perkara keji itu kepada pihak yang bertanggungjawab agar dia dikenakan hukuman yang setimpal. Hubungi talian kecemasan 999 atau mereka yang anda percayai untuk mendapatkan bantuan.

3. Segera ke hospital bagi tujuan pemeriksaan, lebih tinggi kebarangkalian bahan bukti dapat diambil kerana bahan bukti (evidence) masih segar. Jika anda melengahkan masa untuk melaporkan tentang kejadian rogol/liwat, maka peluang untuk mendapatkan bahan bukti adalah lebih tipis.

4. Segera ke Jabatan Kecemasan Hospital Kerajaan yang terdekat dan bukannya hospital swasta. Ini kerana hospital swasta tidak menyediakan perkhidmatan forensik.

5. Jangan menukar, membasuh atau membersihkan pakaian yang anda pakai ketika dirogol itu. Ini bagi mengelak daripada kehilangan sebarang bukti yang terdapat pada pakaian tersebut. Sekiranya anda ingin menyalin pakaian, simpan baju itu ke dalam beg/plastik dan bawa bersama ke hospital.

6. Jangan mandi, makan, minum, mencuci tangan, berkumur-kumur, menggosok gigi, cebok, cuci kemaluan/dubur atau mengesat atau membersihkan tempat-tempat yang diserang, dijilat, dicium, digigit atau disentuh oleh perogol atau peliwat itu. Ini penting bagi tujuan pengumpulan bahan bukti forensik.

7. Di jabatan kecemasan, anda akan terus dihantar ke pusat One Stop Crisis Centre (OSCC) dimana mereka akan terus rawat anda setibanya anda disitu.

8. Minta doktor anda untuk memberikan ubat pencegah kehamilan ataupun rawatan bagi mencegah penyakit jangkitan seksual sekiranya anda risau berjangkit kepada penyakit tersebut.

Ingat! Jangan sesekali anda mendiamkan diri daripada melaporkan kes-kes seperti ini. Gunakanlah langkah-langkah berikut bagi menangani masalah ini.

Sumber: Malaysian Medical Gazette

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close