Tempatan

Tengku Abdullah titah utamakan tulisan Jawi

‘Kembalikan kegemilangan tulisan Jawi’ Itu adalah penegasan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berasakan penggunaan tulisan Jawi harus diperkasakan oleh kesemua pihak merangkumi jabatan kerajaan, swasta, badan berkanun dan majlis daerah.

Tengku Abdullah bertitah kerajaan negeri terutama sekali Kementerian Pendidikan Malaysia bertanggungjawab dalam memperkenalkan kembali tulisan Jawi sekali gus memastikan ia diberi penghormatan semula pada zaman moden ini.

Baginda bertitah antara langkah lain yang boleh dilakukan ialah menggunakan tulisan Jawi di papan tanda, premis jualan dan papan tanda arah selain menyelaraskan ejaan jawi.

“Kementerian Pendidikan juga diharap dapat lebih ke hadapan untuk memainkan peranan supaya tulisan Jawi dapat dipertingkat penggunaannya di sekolah dan dalam kalangan masyarakat.

“Apabila terlaksana hasrat ini, zaman kegemilangan tulisan Jawi dapat dikembalikan kerana sesuatu bangsa itu akan dihormati kerana ketinggian budayanya,” titah baginda semasa merasmikan majlis penutup Seminar Antarabangsa Tulisan Jawi di sini, hari ini.

Tengku Abdullah menegaskan pertahanan tulisan Jawi atas sebab ia merupakan warisan sejarah dan budaya bangsa yang digunakan dalam aspek perdagangan.

Selain itu, baginda berpendapat tulisan Jawi mampu mempertingkatkan perniagaan berbentuk komersil melalui seni khat selain masih banyak manuskrip tulisan Jawi yang belum dikaji.

–┬áBernama

Show More

Related Articles

Back to top button