Isu SemasaTempatan

Kementerian Pendidikan sedia memerangi isu buli

Kementerian Pendidikan Malaysia akan menghasilkan garis panduan baharu supaya lebih telus menangani isu kes buli dalam kalangan pelajar sekolah di seluruh negara mulai minggu depan.

Menurut laporan Bernama, proses dan tempoh siasatan akan diterangkan dengan lebih jelas dengan harapan dapat memastikan tindakan diambil dengan adil dan segera.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata: “Tindakan cepat perlu diambil dan dalam kes buli paling penting adalah siasatan oleh pengurusan sekolah, yang libatkan pelajar sama ada yang kena buli atau dibuli dan adakah melibatkan kes polis atau tidak.

“Tidak boleh tunggu tubuh satu jawatan kuasa, baru nak ambil tindakan, akan jadi lambat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat di Jabatan Pendidikan (JPN) Pulau Pinang di sini, Rabu.

Beliau berkata kebanyakan kes buli tidak melibatkan polis sebaliknya hanya menjadi kes dalaman yang melibatkan ibu bapa mangsa, pembuli serta pengurusan sekolah.

“Biasanya kalau kes ringan, selesaikan di peringkat sekolah, kalau tahap dua, tak boleh selesai di sekolah, barulah pergi ke peringkat ke Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya.

Mahdzir turut berkata pelajar yang didapati bersalah kerana membuli akan diberi pengajaran serius seperti gantung sekolah, dipindahkan ke sekolah lain ataupun diberhentikan dengan segera.

“Keputusan untuk membuang pelajar dari sekolah seolah-olahnya tidak memberi peluang kepada pelajar kerana mereka masih budak lagi. Namun, kami terpaksa rujuk kepada setiap kes secara individu dan menilai tahap (kesalahan).

“Pindah sekolah pun sudah dapat memberi pengajaran kepada mereka,” katanya.

Sumber: Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button