Sukan

Hanya TMJ ada ‘telur’ untuk selamatkan bola sepak negara

“Ramai yang tiada telur,” berikut adalah pandangan Pengarah Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim mengenai berkenaan dengan perkembangan bola sepak tanah air sementara menyuarakan sokongan terhadap laungan yang dibuat Tunku Ismail Ibni Sulltan Ibrahim.

Dalam satu sesi temu bual hangat bersama bekas pengilap bakat muda Bayern Munich, Teong Kim menjelaskan Malaysia memerlukan lebih ramai individu seperti TMJ.

“Saya memang menyokong segala apa yang TMJ perkatakan selama ini tentang bola sepak Malaysia,” katanya dalam video dimuat naik salah satu media tempatan.

Teong Kim berpendapat apa yang dilaksanakan TMJ di Johor harus dicontohi pasukan bola sepak lain.

“Nama sahaja Liga Malaysia yang dikatakan liga profesional tetapi tiada padang latihan, tiada sistem pemain muda, tiada akademi sendiri,” katanya.

Bekas jurulatih Bawah 19 tahun Bayern Munich itu turut menjelaskan bola sepak negara turut berkongsi senario sama seperti di China.

“Apa yang berlaku di negara kita ketika ini ialah kita tiada asas yang kukuh, sama seperti apa yang berlaku di China di mana mereka tiada pembangunan pemain yang kukuh, ini harus jadi tanggungjawab semua pihak termasuk persatuan negeri dan kelab. Tetapi semua pihak yang terlibat dalam Liga M ketika ini semuanya sekadar mementingkan diri masing-masing, mereka tidak mempedulikan tentang bola sepak negara,” jelasnya.

Teong Kim turut tidak bersetuju apabila skuad Harimau Malaysia dipersalahkan apabila tewas di peringkat antarabangsa.

“Sepatutnya badan induk bola sepak negara dipersalahkan bukannya skuad negara,” ujarnya.

Pada masa sama, Teong Kim berpendapat hanya dua individu yang layak digelar ‘orang bolasepak’.

“Hanya Tan Sri Elyas Omar (bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur) dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri (bekas pengurus Kedah) menjadi individu yang benar-benar mempunyai niat baik untuk bola sepak negara.

NFDP juga diwakili barisan pemain tersendiri yang terdiri daripada bakat muda yang berusia 17 tahun dan ke bawah. Tahun lepas, anak-anak muda ini menjadi kebanggaan negara ketika beraksi di pentas Eropah sekali gus mencatat kemenangan ke atas pasukan-pasukan remaja lain dari Itali, Perancis, England dan Portugal.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker